Kuala Lumpur: Selangor bakal menghimpunkan pemain industri, syarikat teknologi, pelabur, pembuat dasar dan penyelidik dari Malaysia serta ASEAN menerusi Selangor Techsphere Summit 2026, pada 14 hingga 17 Oktober depan.
Persidangan teknologi industri yang disokong Kerajaan Selangor itu akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), dengan pendaftaran kini dibuka kepada golongan profesional industri, agensi kerajaan, pelabur, penyelidik, pendidik dan pemimpin teknologi.
Selangor Techsphere Summit 2026 dianjurkan Kerajaan Selangor dengan kerjasama Selangor Technical Skills Development Centre dan menjadi antara komponen utama Selangor International Business Summit 2026.
Persidangan empat hari itu memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi secara praktikal dalam sektor perindustrian, termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, pembuatan pintar dan teknologi digital termaju.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Selangor sudah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi industri dan pelaburan penting di Malaysia.
“Ketika pengeluar berdepan perkembangan pesat teknologi, kelestarian dan rantaian bekalan global, kerajaan serta industri perlu bekerjasama bagi mewujudkan keadaan yang menyokong inovasi dan pertumbuhan berterusan.
“Selangor Techsphere Summit menyediakan platform kepada perniagaan untuk mendapatkan idea, teknologi dan kerjasama baharu, selain menyumbang kepada fasa seterusnya pembangunan industri Selangor,” katanya.
Persidangan itu turut menampilkan bekas pegawai Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat dan pakar geopolitik serta techno-nationalism, Alex Capri, sebagai penceramah utama pada hari pertama.
Presiden baharu Federation of Malaysian Manufacturing (FMM), Jacob Lee Chor Kok pula dijadual menyampaikan ucaptama pada hari kedua persidangan.
Penganjur berkata, sektor pembuatan di Malaysia dan ASEAN kini berdepan tekanan untuk meningkatkan produktiviti, memodenkan operasi, memperkukuh daya tahan serta menangani cabaran kelestarian dan tenaga kerja.
Sehubungan itu, persidangan berkenaan akan mengupas aplikasi AI, automasi industri, robotik, pembuatan pintar dan teknologi digital termaju dalam operasi industri sebenar.
Ia turut membincangkan sektor semikonduktor, kecekapan tenaga, pembangunan tenaga kerja, pelaburan serta pertumbuhan industri serantau.
Sementara itu, Pengarah Komersial Kanan Hannover Fairs Asia-Pacific, Mike Nissen, berkata transformasi industri kini bukan lagi sekadar penggunaan teknologi secara berasingan, sebaliknya memerlukan pengeluar menyelaraskan teknologi, tenaga kerja, pelaburan dan strategi perniagaan jangka panjang.
“Melalui sokongan Kerajaan Selangor dan rangkaian industri global HANNOVER MESSE, Selangor Techsphere Summit akan menghubungkan pemimpin industri serantau dengan kepakaran praktikal, penyelesaian terbukti dan rakan berpotensi yang boleh menyokong perjalanan transformasi mereka,” katanya.
Persidangan itu dibahagikan kepada empat tema utama mengikut hari.
Hari pertama pada 14 Oktober memberi tumpuan kepada AI dan ekonomi digital, manakala hari kedua pada 15 Oktober membincangkan semikonduktor dan mikroelektronik.
Hari ketiga pada 16 Oktober mengetengahkan teknologi hijau dan automasi pintar, sementara hari terakhir pada 17 Oktober memberi tumpuan kepada tadbir urus, bakat serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 4.0.
Peserta boleh memilih hari yang bersesuaian dengan keperluan organisasi masing-masing atau menyertai keseluruhan program empat hari bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai teknologi, strategi dan kemahiran yang membentuk masa depan industri Malaysia serta ASEAN.
Selangor Techsphere Summit 2025 sebelum ini merekodkan kehadiran 1,535 peserta, 21 pempamer dan 39 penceramah dari lebih 15 negara.
Penganjur mensasarkan edisi 2026 untuk memperluas peluang pertukaran pengetahuan, penerokaan teknologi, pelaburan dan pembangunan perniagaan serantau.
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman rasmi Selangor Techsphere Summit.
© New Straits Times Press (M) Bhd

