harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Polis menahan dua lagi suspek susulan penahanan seorang lelaki oleh orang awam berhubung kes curi motosikal tular di Jalan Lagenda Suria 1, Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian jam 3 petang mangsa menyedari seorang lelaki melarikan motosikal jenis Yamaha LC135 miliknya lalu mengejar suspek.
“Mangsa kemudiannya bertindak mengejar suspek dan dengan bantuan orang awam berjaya menahan lelaki berkenaan. Tangkapan itu turut tular di Threads.
“Susulan tangkapan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Kajang menjalankan siasatan lanjut dan menahan dua lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat pihak polis berjaya menemukan lima motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Hulu Langat, Batu 9 dan sekitar Wangsa Maju.
Katanya, kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor.
“Saringan awal mendapati suspek positif dadah turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Saejan Sarma Pushpanathan di talian 019-329 6634 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial sekumpulan orang awam menahan suspek dikatakan mencuri motosikal di Hulu Langat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
