Insentif jana ekonomi usahawan wanita

Insentif  jana ekonomi usahawan wanita

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Inisiatif khusus bagi golongan wanita seperti diumum menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dianggap sebagai ‘talian hayat’ untuk meningkatkan ekonomi keluarga menerusi perniagaan diusahakan.

Peniaga makanan dan minuman, Nur Sakinah Sarju, 29, berkata inisiatif kerajaan itu membolehkannya memohon pinjaman dengan kadar faedah rendah bagi dijadikan modal pusingan.

Berniaga chicken chop dan minuman ringan sejak lapan tahun lalu, beliau mengakui penularan pandemik COVID-19 menyebabkan perniagaannya yang menggunakan trak sajian merosot berikutan pergerakan terbatas.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, perniagaan saya terjejas teruk seperti mana dialami ramai peniaga kecil lain.

“Alhamdulillah, apabila kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif bagi membantu peniaga kecil, termasuk yang dikhususkan untuk usahawan wanita, saya benar-benar lega.

“Bantuan ini akan digunakan untuk menaik taraf beberapa peralatan utama seperti peti sejuk,” katanya ketika ditemui BH.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pakej PEMERKASA bernilai RM20 bilion membabitkan 20 inisiatif, termasuk Prihatin Wanita bagi memperkasa usahawan wanita.

Selain dana RM30 juta melalui Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro serta Program Shop Malaysia Online bagi membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian, sejumlah RM50 juta disediakan kerajaan menerusi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA.

Dana oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) itu adalah sebahagian usaha menggalakkan wanita menceburi bidang perniagaan.

Peruntukan RM10 juta dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Nur Sakinah yang juga ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun berkata, ketiadaan wang simpanan membuatkannya mencari alternatif ketika pelaksanaan PKP.

Justeru, beliau beralih kepada kaedah bayaran tunai ketika serahan (COD) dengan mengambil tempahan makanan dan minuman lebih awal serta membuat penghantaran kepada pembeli.

“Saya turut menambah sumber dengan menjual aiskrim sebagai tambahan. Saya bukan datang daripada keluarga senang, jadi apa saja insentif kerajaan pastinya memberi kelegaan.

“Tahun lalu, saya ditawarkan pinjaman tanpa faedah oleh TEKUN Nasional dan wang itu saya jadikan modal untuk meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya yang turut menjaga ibu bapa berusia dalam lingkungan 60-an dan tinggal bersamanya.

Pengusaha butik pakaian di Shah Alam, Noraini Kusnin, 51, berkata keprihatinan kerajaan membantu usahawan wanita wajar dimanfaatkan golongan hawa khususnya yang terbabit dalam perniagaan untuk bangkit semula.

“Bukan mudah bagi kita mendapat pinjaman dengan kadar faedah rendah, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi serba tidak menentu.

“Saya bersyukur kerana banyak peluang dan jalan terbuka buat kami meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang sudah 14 tahun menjalankan perniagaan.

Ketika PKP lalu, Noraini mengakui perniagaannya terjejas teruk kerana kebanyakan pakaian dijual hanya sesuai untuk digunakan bagi menghadiri acara tertentu atau kenduri.

“Sekarang ini barulah dapat bernafas kembali dengan perlahan-lahan kerana masih ada kekangan, namun ia lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya yang turut mendapat pinjaman TEKUN Nasional sebelum ini.

“Oleh kerana kenduri dan sebarang bentuk keramaian tidak dibenarkan ketika itu, saya memang tiada pelanggan,” katanya.

Bantuan khas suntik semangat tingkat pendapatan

Kuala Lumpur: Pelbagai inisiatif dan bantuan diumumkan kerajaan sejak setahun lalu bagi golongan usahawan wanita dianggap sebagai suntikan semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana mencabar.

Ia juga membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam menjana dan sama-sama memulihkan ekonomi negara.

Yang Dipertua Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (USAHANITA), Datuk Faridah A Jabbar, berkata ramai peniaga dan usahawan wanita kini kembali menyambung operasi dalam skala penuh selepas mengharungi setahun yang dipenuhi ketidaktentuan.

Katanya, pelbagai bantuan kewangan dan pinjaman menerusi pakej rangsangan dan Belanjawan 2012 yang ditawarkan kerajaan adalah jawapan terhadap pelbagai kemusykilan dihadapi peniaga wanita sebelum ini, lebih-lebih lagi yang tidak layak membuat pinjaman daripada institusi kewangan.

“Cabaran COVID-19 bukan calang-calang kesannya, maka langkah proaktif kerajaan membantu peniaga wanita ini terutama daripada golongan B40 diibaratkan sebagai cahaya yang menyuluh laluan untuk mereka terus melangkah.

“Ramai yang terpaksa bergolok-gadai selama ini semata-mata untuk mendapatkan modal pusingan, justeru bantuan ini pastinya meleraikan pelbagai kekusutan yang dihadapi,” katanya kepada BH.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang turut memberi manfaat langsung bagi usahawan wanita.

Ia termasuk peruntukan RM50 juta menerusi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA dengan pinjaman sehingga RM50,000 pada kadar faedah serendah tiga peratus.

Mengakui kerajaan tidak terlepas pandang akan keperitan dialami peniaga wanita, Faridah berkata, USAHANITA yakin ahlinya akan memanfaatkan setiap peluang disediakan ke arah meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.

USAHANITA mempunyai kira-kira 36,000 orang ahli dengan 70 peratus adalah golongan B40.

Pengasas Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan, pula berkata pelbagai inisiatif kerajaan juga banyak membantu wanita mempertingkatkan ekonomi keluarga melalui perniagaan.

Katanya, Gerakwanis mengenal pasti ramai usahawan wanita yang berdepan cabaran menjalankan perniagaan disebabkan COVID-19 dan dana PEMERKASA hadir tepat pada waktunya.

“Kami harap dana ini turut membabitkan usaha sama antara kerajaan dengan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau koperasi wanita,” katanya.

“Ia bagi memastikan usaha memperkasakan wanita dapat dilaksanakan sehingga mereka mencapai kejayaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top