JPJ cadang tubuhkan pasukan tindakan khas

JPJ cadang tubuhkan pasukan tindakan khas

am@hmetro.com.my

Kuantan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bercadang mewujudkan pasukan tindakan khas dalam memperkasakan jabatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, fungsi pasukan berkenaan lebih kepada menjalankan tugasan yang berbeza dengan bahagian penguat kuasa jabatan itu.

Menurutnya, pasukan itu akan membantu isu kritikal yang lebih sukar untuk dikendalikan JPJ negeri terutama termasuk membabitkan operasi khas dan risikan.

“Di JPJ, kita masih tidak ada pasukan seperti ini. Oleh itu, saya akan mengadakan perbincangan secara terperinci terlebih dahulu termasuk jumlah keanggotaan sama ada daripada anggota JPJ sendiri.

“Pasukan ini akan diberikan latihan yang berbeza berbanding latihan anggota penguat kuasa lain.

“Sebaik diperincikan, cadangan kewujudan Pasukan Tindakan Khas ini akan diserahkan kepada JPA untuk dipertimbangkan.

“Saya mengambil inspirasi cadangan kewujudan pasukan ini daripada JPJ Pahang yang membuat lakonan demonstrasi berkaitan satu pasukan khas yang membantu anggota JPJ Pahang hari ini apabila berdepan kes tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke ibu pejabat JPJ Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, JPJ sedang meneliti berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kenderaan elektrik (EV).

“Setakat ini, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) boleh mengguna pakai spesifikasi teknikal pemeriksaan kenderaan biasa terlebih dahulu.

“Ini kerana pihak kejuruteraan automotif JPJ sedang meneliti dan akan diperincikan sebelum dikeluarkan SOP,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top