mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik ketetapan baharu berhubung pelaksanaan pertukaran petugas kaunter yang berkhidmat melebihi lima tahun.
Ia seperti mana yang dihasratkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam selaras dengan arahan Ketua Setiausaha Negara dalam amanatnya pada 20 Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, berkata selaras dengan hasrat itu, JIM akan meneruskan pelaksanaan pertukaran atau pusingan kerja kepada pegawai yang berkhidmat di sesuatu jawatan selama lima tahun dan ke atas mengikut ketetapan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2004 – Panduan Pertukaran Pegawai Awam dan Pekeliling Imigresen Malaysia Terhad Bil. 1 Tahun 2021 – Panduan Penempatan dan Pertukaran Pegawai dan Kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurutnya, untuk rekod, sehingga 31 Disember lalu, JIM mencapai kadar pusingan kerja sebanyak 97.94 peratus iaitu 3,178 pegawai sama ada bertukar atau menjalani pusingan tempat kerja di seluruh negara.
“Pusingan kerja memang salah satu fokus utama JIM dan dilaksanakan secara berterusan. Jabatan yakin pelaksanaan langkah ini dapat mengatasi masalah salah guna kuasa dan isu integriti, selain memberi peluang kepada pegawai untuk menggalas tugas dan tanggungjawab baharu, sekali gus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka.
“Di samping itu, JIM juga memandang serius dan tidak berkompromi dengan sebarang pelanggaran integriti oleh pegawainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang 2022 hingga tahun lalu, seramai 241 pegawai dikenakan tindakan tatatertib dan 46 orang dikenakan tindakan buang kerja.
“Jabatan ini sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan, sama ada warga Malaysia mahupun warga asing.
“JIM juga mengalu-alukan cadangan penambahbaikan sebagai usaha berterusan jabatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




