43 kampung di Terengganu berisiko dinaiki air

43 kampung di Terengganu berisiko dinaiki air

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sebanyak 43 kampung yang terletak berhampiran muara sungai di negeri ini berisiko dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku selama empat hari bermula jam 9 malam tadi hingga Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu Osman Abdullah berkata, walaupun kelajuan angin dijangka sekitar 25 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian ombak mampu mencapai lebih tiga meter, ia boleh mendatangkan risiko kepada penduduk yang tinggal di sekitar kawasan pantai.

“Keadaan itu boleh menyebabkan berlaku limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sekaligus boleh berlaku banjir di kampung berhampiran dan tepi pantai.

“Keadaan menjadi lebih teruk jika berlaku hujan lebat yang boleh menyebabkan berlaku pertembungan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua 43 kampung terbabit terletak berhampiran 12 muara sungai di negeri ini.

Katanya, antara kampung terbabit ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pulau Sekati dan Kampung Pulau Ketam di daerah Kuala Nerus.

“Manakala di Kuala Terengganu, hanya tiga kawasan berisiko banjir iaitu Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa serta berpindah ke pusat pemindahan jika diarahkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top