Penyanyi, Hafiz Suip, 35, tidak menafikan kontroversi membabitkan rumah tangganya sedikit sebanyak menganggu persediaan menjelang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39.
Ketika ditemui XTRA, Hafiz yang mempertaruhkan lagu Terus Bersinar pada musim AJL39 tahun ini mengaku isu tersebut menganggu konsentrasinya, namun dia tidak membiarkan ‘gangguan’ itu terus berlaku.
“Cerita-cerita kontroversi membabitkan saya sedikit sebanyak memang mengganggu konsentrasi saya tapi saya alih perhatian saya kepada benda lain.
“Saya tak boleh buat banyak benda dalam satu masa, sebab itu saya ambil keputusan untuk selesaikan satu demi satu perkara. Saya percaya, kerjaya sebagai penyanyi ini juga yang akan membantu masa depan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz turut mengakui dirinya berasa tertekan apabila ada segelintir peminat yang mengharap agar dia memenangi anugerah vokal terbaik AJL39.
“Saya sebenarnya tertekan juga bila baca komen, ramai yang letakkan harapan supaya saya menang vokal. Mereka suruh saya kalahkan Ernie Zakri, Aina Abdul, Nadeera, Marsha dan ramai lagi. Tapi bukan mudah benda tu sebab mereka semua sangat hebat,” katanya.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sesi Healing dan Meet & Greet bersama finalis AJL39 yang berlangsung di Gua Juicery, Taman Botani Putrajaya pada Sabtu.

Meskipun dilanda ujian rumah tangga, pelantun lagu popular Bahagiamu Deritaku ini bagaimanapun memaklumkan anak-anak iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5 adalah sumber kekuatan utama yang menyuntik semangat untuk terus berusaha dalam dunia seni.
“Saya buat semua ini untuk anak-anak. Saya nak mereka bangga melihat saya membuat persembahan di televisyen. Saya rasa tak sabar dan teruja untuk ke pentas AJL sebab ramai sebenarnya menantikan kemunculan saya termasuk mak dan keluarga saya di kaca televisyen,” katanya.

Sebelum ini, Hafiz mendedahkan dia dalam proses perceraian dan bersedia untuk melepaskan isteri secara baik.
Sekadar info, AJL39 bakal bersiaran langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dan dipancarkan di TV3 jam 9 malam atau boleh juga distrim secara HD di www.tonton.com.my.
Untuk mendapatkan tiket konsert AJL39, anda boleh membuat pembelian di www.wowtix.com.my.
Artikel Berkaitan: “Kalau Dah Tak Ada Persefahaman Mengapa Perlu Teruskan” – Hafiz Suip Mengaku Kini Dalam Proses Bercerai
Artikel Berkaitan: Hafiz Suip Kesal, Anggap Tindakan Padam IG Dengan 800,000 Pengikut Satu Kesilapan




