am@hmetro.com.my
Ipoh: Demi mahu tampil lebih menonjol, ada pemilik sanggup berhabis sehingga RM15,000 untuk mengubah suai motosikal, termasuk membuang brek belakang semata-mata mahu kelihatan lebih laju.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan berkenaan amat membimbangkan apabila motosikal yang diubah suai sehingga mampu mencapai kelajuan 200 kilometer sejam (km/j) tidak lagi mempunyai sistem brek belakang.
“Saya dimaklumkan ada yang mencecah sehingga RM15,000 untuk mengubah suai motosikal.
“Paling menakutkan adalah sistem brek yang sudah diubah suai hingga membuang brek belakang dan hanya tinggal brek hadapan sahaja, mungkin untuk cepat menemui Tuhan,” katanya ketika sidang media Operasi Motosikal Ekstrem JPJ Negeri Perak di Depoh Sita JPJ Perak, di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang 2026 hingga setakat 19 Ogos, tiga operasi Ops Ekstrem dilaksanakan di seluruh negeri itu dengan 146 motosikal diperiksa dan 79 daripadanya diambil tindakan manakala 37 motosikal disita.
Dalam perkembangan sama, Mohamamd Yusoff berkata JPJ sedang dalam proses menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membasmi penjualan aksesori dan alat ganti motosikal yang digunakan untuk pengubahsuaian ekstrem serta tidak mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Menurutnya, tindakan itu bertujuan memotong rantaian ‘penawaran dan permintaan’ (supply and demand) di peringkat peruncit, bagi memastikan komponen yang menyalahi spesifikasi teknikal jalan raya tidak lagi dijual secara bebas di pasaran.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat 1 Januari hingga 20 Ogos 2026, sebanyak 190 kenderaan mewah dirampas dalam Ops Luxury yang memberi tumpuan dalam mengesan dan menyita kenderaan mewah yang didapati gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta tiada insurans sah.
“Dari apa yang saya nampak, kebanyakan pemilik kenderaan mewah yang tiada LKM dan insurans ini hanya mahu menunjuk kerana mereka mempunyai beberapa lagi kenderaan untuk kegunaan aktiviti harian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
