Beijing: Ratusan juta individu di seluruh Asia menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga mereka hari ini sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada Tahun Naga bagi meraikan kedatangan Tahun Ular.
Sempena perayaan itu, penduduk China menikmati cuti umum berturut-turut untuk Festival Musim Bunga 2025, dan berpeluang untuk berkongsi makanan, menghadiri persembahan tradisional dan membakar mercun serta bunga api.
Stesen kereta api dan lapangan terbang di seluruh negara itu juga sesak selama berminggu-minggu kerana jutaan individu pulang ke kampung halaman untuk menghabiskan percutian bersama insan tersayang.
Sementara jalan raya, pusat beli-belah, pejabat dan rumah di negara lain di Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Vietnam dan Thailand, dihiasi dengan sepanduk merah perayaan yang dipercayai dapat mengusir anasir jahat.
“Apabila tahun baru tiba, saya fikir kebanyakan orang berharap untuk menjadi kaya, kerja berjalan lancar dan mendapat kebahagiaan keluarga,” kata Yang Longhua, seorang pengurus syarikat katering kepada AFP di tepi tasik beku tempat orang ramai pergi meluncur ais Beijing, minggu ini.
Menurut agensi berita negara Xinhua, kira-kira sembilan bilion perjalanan penumpang antara wilayah dalam semua bentuk pengangkutan direkodkan di China, dalam tempoh 40 hari sebelum dan selepas cuti Tahun Baharu Cina.
Perjalanan kereta api dan udara di China dijangka mencapai rekod tertinggi dalam Tahun Baharu kali ini, kata Xinhua, dengan kementerian pengangkutan berkata, ia menjangkakan 510 juta perjalanan kereta api dan 90 juta pengangkutan udara dalam tempoh itu.
Di Shanghai, Ming Dong berkata, dia mengharapkan kesihatan dan kerja yang baik ketika melawat festival tanglung di Taman Yu.
“Tempat ini mempunyai suasana Tahun Baharu Cina, jadi saya datang ke sini untuk bersiar-siar,” kata pemuda berusia 30 tahun itu kepada AFP.
Di Korea Selatan, salji lebat menyebabkan gangguan jadual kereta api, kapal terbang dan bas di seluruh negara ketika orang ramai pergi melawat keluarga mereka di luar bandar minggu ini.
Penumpang dilihat di stesen kereta api utama Seoul membawa hadiah yang dibalut dengan kain berwarna-warni dan bagasi ketika mereka bersiap untuk meninggalkan ibu negara.
Imej disiarkan media tempatan menunjukkan kenderaan yang dilitupi salji tersangkut di lebuh raya utama Korea Selatan ketika angin kencang dan salji berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




