'Usaha sawah hanya cukup-cukup makan, nak jadi kaya tak boleh'

'Usaha sawah hanya cukup-cukup makan, nak jadi kaya tak boleh'

am@hmetro.com.my

Yan: “Pendapatan kami hanya kira-kira RM800 sebulan, sekiranya padi diserang penyakit, langsung tiada pendapatan, kami akan tanggung rugi dan hutang yang tinggi,” kata Mohd Hafidz Ismail, 41.

Pesawah di Sungai Limau Dalam itu berkata, ramai penduduk mula beralih kepada kerja lain dan menyewakan tanah sawah disebabkan kos mengusahakannya semakin meningkat.

Atas rasa tanggungjawab, dia bagaimanapun tetap mengusahakan sawah dengan menyewa kira-kira 11 hektar sawah daripada penduduk tempatan.

“Sekiranya kerajaan tidak menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800, saya rasa lebih ramai anak muda tidak mahu usahakan padi, lebih baik mereka kerja lain, sekurang-kurangnya boleh dapat RM1,500 sebulan daripada kerja di sawah, pendapatan tidak menentu.

“Saya sewa serelung (0.29 hektar) RM1,000, untuk semusim saya perlukan modal RM45,000, tapi selepas ditolak pelbagai kos, hanya cukup-cukup makan.. nak jadi kaya tak boleh,” katanya ketika ditemui selepas melakukan perhimpunan aman bersama kira-kira 50 pesawah tempatan di sini, hari ini.

Seorang lagi pesawah, Esomuddin Abdul Wahab, 52, berkata, dia hanya mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dan terpaksa mengambil upah meracun sawah secara manual iaitu RM15 bagi setiap 0.29 hektar.

“Anak saya dua orang berada di universiti, seorang di Jordan dan seorang lagi universiti awam tempatan, dua lagi anak saya masih sekolah.

“Belanja banyak diperlukan, kami ini nampak macam orang senang, tapi sebenarnya kami banyak berhutang dengan tauke kilang padi untuk buat bendang dan makan, lepas kerat (tuai) padi, kami bayar balik, begitu lah putaran hidup pesawah, kami boleh bernafas sikit apabila anak-anak bekerja,” katanya yang mengusahakan kira-kira 16 hektar sawah secara sewa.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kebanyakan petani sekarang sangat terbeban dengan pelbagai kos yang semakin meningkat sehingga ramai pesawah berpendapatan kira-kira RM350 sebulan.

“Sebab itu kami ambil inisiatif adakan memorandum tuntutan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.. sekurang-kurangnya kudrat mereka dihargai.

“Kami merayu agar kerajaan segera membuat keputusan kerana padi kini sudah mula dituai, bagaimana pesawah nak hidup dengan pendapatan yang di bawah garis kemiskinan,” katanya yang memberitahu himpun dianjurkan adalah suara pesawah dan tidak didalangi mana-mana pihak.

Kelmarin, kira-kira 500 petani dan pesawah dari seluruh Semenanjung Malaysia berhimpun di Putrajaya, mendesak Kerajaan Perpaduan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800, di samping membantah usaha memperkenal undang-undang benih yang merugikan mereka.

Seramai 10 wakil PeSAWAH menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan diterima oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chai Ming Kai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top