Lozano harumkan nama TSG di GP Fergana

Lozano harumkan nama TSG di GP Fergana

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Juan Pedro Lozano mencuri tumpuan di Grand Prix (GP) Fergana di Uzbekistan selepas memenangi peringkat pertama sejauh 140 kilometer (km), sekali gus menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan, hari ini.

Tonggak import dari Sepanyol itu berjaya membentuk gandingan mantap bersama tiga lagi rakan sepasukan iaitu James Gardner, Shahmir Aiman Abdul Halim dan Pierre Barbier sebelum melakukan henjutan terakhir dengan catatan masa 3 jam 20 minit 25 saat.

Dia mengetepikan cabaran pelumba tuan rumah, Nikita Tsvetkov dan pelumba Li Ning Star, Raman Tsishkou yang hanya berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

Lozano yang berusia 22 tahun dan mula menyertai pasukan berstatus benua itu pada tahun lalu berpeluang untuk mengekalkan jersi berkenaan jika mampu meneruskan persembahan cemerlang pada hari terakhir esok.

Pakar pecut yang pernah menduduki tempat keempat di peringkat kelima Tour AlUla tahun ini, dilihat tidak berdepan masalah untuk mengulangi pencapaian sama esok dalam perlumbaan sejauh 141km berikutan laluan lebih landai berbanding hari ini.

Perlumbaan GP Fergana hanya menampilkan dua peringkat sahaja dan berstatus 2.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top