OVIEDO (Sepanyol) – Menteri Luar Sepanyol berkata pada Isnin bahawa Israel menggunakan strategi ketenteraan yang sama di selatan Lubnan seperti di Gaza, sambil menegaskan negara itu tidak boleh mengekalkan hubungan normal dengan Kesatuan Eropah (EU) susulan pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.
Jose Manuel Albares memberitahu penyiar awam RTVE bahawa situasi di Lubnan mencerminkan corak “menghalang kehidupan normal rakyat Lubnan, pemusnahan infrastruktur awam, pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, arahan pemindahan paksa penduduk supaya mereka tidak dapat kembali, serta serangan oleh kedua-dua pihak terhadap pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.”
Menurut menteri itu, semua perkembangan berkenaan menunjukkan Israel berusaha menguasai sebahagian wilayah sebuah negara berdaulat.
“Ini amat serius terhadap kestabilan Asia Barat dan juga keselamatan Israel sendiri,” kata Albares sambil memberi amaran bahawa Israel “sedang membawa Asia Barat ke arah perang berpanjangan.”
Beliau turut mengulangi gesaan Sepanyol supaya EU menggantung Perjanjian Persatuan dengan Israel, yang akan dibangkitkannya pada mesyuarat menteri luar EU pada Selasa.
“Israel perlu memahami bahawa ia tidak boleh mempunyai hubungan normal apabila hak asasi manusia dilanggar secara terang-terangan,” katanya.
Menyentuh konflik serantau secara lebih luas, Albares berkata, Sepanyol tidak akan menyertai sebarang operasi ketenteraan di Selat Hormuz, ketika ketegangan masih tinggi walaupun terdapat gencatan senjata sementara antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Kami tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang operasi ketenteraan di selat itu,” katanya, sambil menambah bahawa Sepanyol menyokong penyelesaian diplomatik.
Minggu lalu, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, United Kingdom dan Perancis akan mengetuai misi multinasional yang “aman dan defensif” untuk melindungi selat itu selepas pertempuran di rantau berkenaan berakhir.
Albares menggesa supaya laluan perairan itu kembali menjadi “laluan bebas, selamat dan terbuka untuk semua kapal tanpa diskriminasi,” namun berkata sebarang mekanisme pengesahan pada masa depan perlu diterajui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Albares turut memberi amaran mengenai peningkatan ketegangan ketenteraan antara Iran dan AS serta menggesa Iran menyertai rundingan damai di Pakistan bagi mengelakkan peningkatan konflik. – Bernama-Anadolu



