sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Kai-Kang Khai Xing mengucapkan selamat tinggal kepada Masters Thailand apabila tersingkir di pusingan kedua kejohanan berstatus Super 300 itu, hari ini.
Kekalahan juara remaja dunia 2024 itu turut menyaksikan cabaran kesemua pemain negara di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$240 ribu (RM1.05 juta) itu berakhir.
Bertemu pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, Aaron-Khai Xing yang mengisi ranking 58 dunia kalah dalam perlawanan tiga set.
Selepas berjaya mengejutkan pasangan ranking 24 dunia pada set pertama dengan kemenangan 21-19, dua set berikutnya berakhir dengan kekalahan 16-21, 14-21 pada aksi 51 minit.
Sementara itu, dua wakil negara yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki turut berakhir duka apabila masing-masing kecundang kepada lawan masing-masing.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok itu, bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jacky Kok tewas straight set kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-13, 21-18.
Aidil Sholeh Ali Sadikin pula kalah 9-21, 15-21 kepada wakil China, Wang Zhengxing
Dalam kategori beregu lelaki, gandingan baharu bekas pemenang pingat perak Olimpik, Goh V Shem bersama dengan pemain Korea Selatan, Choi Sol Gyu tewas kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carmado-Bagas Maulana 11-21, 18-21.
Situasi sama turut berlaku di acara beregu wanita apabila satu-satunya wakil negara di peringkat 16 terbaik, Ong Xin Yee-Carmen Ting tersingkir selepas kalah kepada wakil Taiwan, Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao 17-21, 21-23.
Mengalami nasib sama adalah pasangan tunggal negara dalam acara beregu campuran, Loo Bing Kun-Ho Lo Ee yang tewas kepada pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil.
Selepas tewas mudah 7-21 pada set pertama, Bing Kun-Lo Ee yang menghuni ranking 79 dunia menang set kedua 21-18 namun tersingkir selepas tewas set ketiga 14-21 dalam tempoh 37 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




