Hotel pertama dengan staf robot sepenuhnya

Hotel pertama dengan staf robot sepenuhnya

Beijing: China mengumumkan rancangan membuka hotel pertama di dunia yang dikendalikan sepenuhnya oleh robot, sekali gus menandakan langkah besar ke arah industri hospitaliti yang diautomasikan sepenuhnya, lapor portal Interesting Engineering.

Hotel yang terletak di Wilayah Guangdong itu dijadual dibuka pada 2027, dan akan diuruskan oleh Pudu Robotics.

Hotel itu akan bergantung kepada robot untuk mengendalikan semua perkhidmatan utama termasuk kaunter penerimaan tetamu, daftar masuk, perkhidmatan bilik, pengemasan, penyediaan makanan dan bantuan kepada tetamu.

Projek itu dibangunkan berdasarkan pengalaman Pudu menggunakan robot perkhidmatan dalam sektor peruncitan, restoran dan pembersihan komersial, sebelum diperluaskan kepada operasi hotel secara menyeluruh.

Difahamkan, hotel berkenaan akan diperkenalkan secara berperingkat dengan ujian awam dijadual bermula pada penghujung 2026.

Menurut portal sama, pada fasa awal, sejumlah kecil bilik tetamu akan dibuka bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri perkhidmatan penerimaan tetamu berkuasa robot, penghantaran autonomi ke bilik dan ciri hospitaliti lain yang dipacu kecerdasan buatan (AI) sebelum pelancaran penuh.

Inisiatif itu dibangunkan dengan kerjasama Shenzhen Culture & Tourism Industry Development sebagai sebahagian pelan mentransformasikan Pulau Buatan Barat yang dibuka pada Disember 2025.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi Pudu, Cong Guo berkata, projek itu turut memberi peluang meneroka model perkhidmatan baharu yang menggabungkan AI dan robotik bagi menyampaikan pengalaman pintar secara menyeluruh dari awal hingga akhir dalam dunia sebenar.

Dalam pada itu, berbeza dengan hotel pintar konvensional yang menggunakan sistem automasi berasingan untuk tugas tertentu, hotel itu direka sebagai ekosistem robotik yang disepadukan sepenuhnya, membolehkan pelbagai robot bekerjasama pada setiap peringkat pengalaman tetamu.

Menurut Pudu, semua robot akan berkomunikasi melalui platform kecerdasan bersama bagi menyediakan perkhidmatan yang berterusan dan diperibadikan, selain turut mengendalikan logistik di bahagian belakang operasi.

Sementara itu, operasi hotel itu akan dipacu oleh model asas kecerdasan terjelma PuduFM 1.0 dan platform AI terjelma am, PuduAgent, yang dibangunkan berasaskan model Vision-Language-Action (VLA) serta teknologi navigasi dipacu ‘world model’.

Robot penerimaan tetamu akan memahami pertuturan, gerak isyarat dan interaksi sosial, robot penghantaran pula mengoptimumkan laluan secara autonomi, manakala robot pembersihan akan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dalam masa nyata.

Pudu juga mendakwa, platform itu membolehkan kecerdasan dan keupayaan dikongsi antara pelbagai jenis robot sekali gus mempercepatkan pelaksanaan, meningkatkan kecekapan operasi serta memberikan pengalaman yang konsisten dalam setiap aspek operasi hotel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top