anbia@hmetro.com.my
Damsyik: “Melawan kezaliman adalah sebaik-baik jihad. Saya bersyukur akhirnya berjaya membebaskan berjuta rakyat Syria daripada terus dibunuh golongan yang membenci ahli Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujar pejuang mujahiddin yang kini diserap masuk sebagai anggota tetap tentera Syria.
Abu Mujahid, 40, berkata, dia mula berjuang untuk membebaskan Syria dari pemerintahan kuku besi bermula tahun 2016 sebelum akhirnya berjaya menumpaskan tentera Bashar Al-Assad pada 8 Disember lalu.
Menurutnya, dia pernah terbabit dalam beratus pertempuran antara tentera Pembebasan Mujahiddin dan tentera yang setia pada Rejim Bashar Al-Assad.
“Walaupun jumlah kami sedikit berbanding tentera Bashar yang mendapat pertolongan dua kuasa besar dunia namun kami berpegang pada tali Allah SWT.
“Kejayaan kami menjatuhkan rejim Bashar al-Assad membuka lembaran baru dalam politik dan pentadbiran Syria yang lebih adil,” katanya ketika ditemui wartawan di Pusat Imigresen Syria berhampiran sempadan Jaber di sini.
Menurutnya, sejarah tidak dapat menafikan kekejaman Presiden Bashar al-Assad yang membunuh berjuta rakyat bumi anbia ini sejak lebih 13 tahun lalu.
“Peperangan ini sudah berakhir dan kini masanya untuk memulih serta mengembalikan kegemilangan negara ini,” ujarnya.
Dia yang dahulu memiliki rambut panjang dan berjambang kini dilihat memiliki imej bersih dan kemas selain memakai seragam rasmi tentera Syria.
Sementara itu, seorang lagi pejuang Mujahiddin yang mahu dikenali sebagai Bilal, 38, berkata, jihad Islam memberikan motivasi kepada dia dan pejuang lain untuk menentang kezaliman.
Menurutnya, dia amat gembira apabila pihak berkuasa baharu Syria mengumumkan pelantikan Ahmed al-Sharaa sebagai Presiden interim dan diberi mandat untuk membentuk badan perundangan di Syria kelmarin.
“Ahmed al-Sharaa adalah ketua kumpulan tentera Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang turut dikenali sebagai Abu Mohammed al-Jolani. Dia tidak hanya pejuang yang hebat di medan pertempuran malah adalah ‘pemikir’ dalam usaha menyusun semula landskap politik Syria.
“Sebelum ini kami berjaya mengukuhkan kedudukan di wilayah Idlib di utara Syria sejak tahun 2017. Kini kami berjaya mewujudkan kestabilan di seluruh negara dalam tempoh tidak sampai dua bulan.
“Perjuangan ini bukan sekadar untuk menggulingkan kerajaan Basha Al-Assad, bahkan untuk membina Syria baru yang lebih stabil dan adil,” katanya.
Malam kelmarin, pesta bunyi tembakan rifal dan pistol kedengaran di seluruh bandar Damsyik bagi meraikan perlantikan Ahmed al-Sharaa sebagai Presiden interim.
Penulis yang berada di kafe tingkat enam hotel didiami dapat melihat jelas tembakan senjata api dilepaskan bertalu-talu ke langit disertai laungan takbir.
Berdasarkan pemerhatian penulis sejak dua minggu lalu berada di bumi Syam, anggota tentera Mujahiddin HTS ditempatkan di merata lokasi terutama kawasan tumpuan ramai bagi memastikan keamanan.
Mereka ini yang bergerak berdua atau bertiga dalam satu kumpulan dilihat berkawal dan meronda di sekitar Masjid Umawi, pasar besar Hamidi dan sekitar jalan utama di Damsyik.
Mereka ini yang tampil kemas dan membawa rifel AK-47 mudah mesra ketika disapa dan menjawab salam diberikan penulis.
Malah mereka tidak keberatan menjawab segala pertanyaan atau diminta untuk berswafoto.
Imej diplomasi dan lembut ditampil mereka sekaligus menyangkal propaganda media barat selama ini yang mengaitkan HTS dengan aktiviti kumpulan pengganas.
Sebelum ini, HTS mempunyai hubungan dalam kumpulan Al-Qaeda, namun sejak 2016, kumpulan itu mula melonggarkan pendekatan mereka dan bergerak sendirian.
HTS lebih terbuka dalam berinteraksi dengan masyarakat tempatan dan meninggalkan pendekatan keras seperti kumpulan pelampau lain termasuk kumpulan IS.
Tentera Mujahiddin bukan tentera biasa berikutan mereka turut menubuhkan kolej ketenteraan yang menyaksikan bekas pegawai tentera Syria yang berpaling tadah melatih pejuang HTS mengikut doktrin ketenteraan moden.
Mereka kini lebih menyerupai pasukan tentera profesional dengan rantaian komando yang jelas.
Selain itu mereka mempunyai keupayaan menghasilkan kenderaan berperisai dan memiliki unit dron yang memberi kelebihan taktikal di medan tempur.
Selain aspek ketenteraan, HTS menunjukkan kebolehan luar biasa dalam mengurus ekonomi konflik dan berjaya menjana pendapatan melalui cukai perdagangan di wilayah Idlib.
Pengerusi Muslim Care Syria, Mohmad Khteb berkata, HTS berjaya menguruskan kewangan melalui percukaian tempatan dan kawalan ekonomi.
“Salah satu contoh ketara ialah cukai minyak zaitun yang diperkenalkan pada 2019, apabila petani di Idlib diwajibkan menyerahkan lima peratus hasil minyak zaitun mereka kepada pemerintah tempatan.
“Selain itu, HTS turut mengawal sempadan utama seperti Bab al-Hawa, yang menjadi laluan penting untuk perdagangan dan bantuan kemanusiaan dari Turkey.
“Anggaran menunjukkan HTS menjana sehingga AS15 juta ($20.3 juta) sebulan hanya daripada kutipan cukai sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




