Ramai 'geram' lihat gaya Nur Fillya

Ramai 'geram' lihat gaya Nur Fillya

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: ‘Geram’ melihat kanak-kanak comel antara faktor anak sulungnya yang kini berusia dua tahun menjadi pempengaruh dan model media sosial.

Anna Qarina, 31, berkata, dia amat menyukai kanak-kanak comel yang dipakaikan dengan pakaian seperti anak patung.

“Sejak saya mengandungkan anak, jiwa saya berkobar-kobar untuk menghiaskan anak dengan pelbagai hiasan seperti baju yang cantik, perhiasan, solekan dan gaya rambut.

“Dua tahun lalu, saya mula mendaftar akaun media sosial anak, iaitu TikTok untuk berkongsi kehidupan seharian sejak dia dilahirkan.

“Akan tetapi akaun TikTok itu disekat atas beberapa faktor oleh pengendali sosial media ketika itu,” katanya.

Dia berkata, sebaik anaknya, Nur Fillya Leandra yang kini berusia dua tahun dilahirkan, dia obses untuk menghias anak perempuannya dengan memakai pakaian menarik.

“Nur Fillya akhirnya berjaya menjadi pempengaruh dan model cilik di media sosial. Kecomelan Nur Fillya mendapat perhatian butik tempatan yang mahu menjadikan anaknya sebagai model pakaian.

“Butik berkenaan akan memberikan dua helai baju seperti baju kurung, baju raya atau baju kebaya untuk anak saya peragakan.

“Baju-baju berkenaan akan dipakai oleh Nur Fillya dan dipromosikan di akaun TikTok milik anak saya,” katanya.

Anna menganggap video pendek dikongsi di laman sosial itu adalah kenangan terindah sepanjang anaknya membesar.

“Setakat ini, anak saya itu sudah memperagakan pelbagai pakaian bermula dari pakaian tema merdeka, halloween, perayaan Deepavali dan pakaian tradisional.

“Kini akaun TikTok milik Nur Fillya Leandra mencecah 75,600 pengikut yang rata-rata memuji kecomelannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top