norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anak bongsu pelakon Dharma Harun Al-Rashid iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, bersyukur ‘mendung hitam’ dialaminya tahun lalu kini bertukar ‘sinaran matahari’ dengan rezeki yang lebih murah.
Syafiq berkata, dia mengambil positif saja dengan apa yang berlaku kepada keluarganya sebelum ini, termasuk kecaman-kecaman netizen yang menghentamnya kerana didakwa tidak mahu bekerja.
“Alhamdulillah, sekarang saya sudah mula mendapat tawaran berlakon drama, muzik video lagu, termasuk dipanggil untuk menjadi model pakaian. Syukur kepada Allah, semua itu adalah rezeki.
“Malah, apa yang penting dengan bayaran diterima itu menjadi sumber pendapatan saya untuk menyara keluarga, membayar sewa rumah dan bil-bil utiliti bulanan,” katanya kepada Harian Metro.
Syafiq ditemui baru-baru ini berkata, dia juga sangat berbesar hati apabila mendapat peluang berlakon dalam muzik video lagu Nuri Terbang Malam yang dirakam semula oleh Datuk M Nasir.
“Saya sebenarnya tak sangka juga dapat peluang untuk membintangi muzik video Nuri Terbang Malam itu. Tapi, inilah rezeki Allah dan saya dapat mengetengahkan bakat dalam lakonan.
“Sekarang, saya pun dah tak sedih lagi dengan cerita-cerita lama dulu. Sebaliknya, berterima kasih kepada pihak media yang sudah mengeluarkan kisah keluarga saya sehingga mendapat perhatian.
“Ramai orang dah makin mengenali saya dan bakat lakonan juga mula diketengahkan. Cuma, saya tak dapat terlalu aktif berlakon ketika ini sebab terikat dengan pengajian ijazah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara),” katanya.
Menurut Syafiq, dia perlu hadir kuliah dan tidak boleh ‘skip’ kelas kerana ia peraturan Aswara dan perlu menghormatinya berikutan pihak kampus juga sudah banyak membantunya ketika dalam kesusahan.
“Bagaimanapun, saya tetap terbuka dan sedia terima tawaran berlakon yang datang sekiranya sesuai serta ada kelapangan masa untuk melakukannya. Tapi, asalkan jadual belajar saya tidak terganggu.
“Saya juga tidak kisah watak dan kalau kena melakonkan babak bersentuhan pun boleh sebab apa yang dibuat itu kerana tuntutan kerja semata-mata. Itu yang saya diajar juga dalam pementasan teater di Aswara,” katanya.
Pada Jun tahun lalu, Dharma, 69, yang popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja menerima notis arahan agar mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju kerana gagal membayar sewa tertunggak sebanyak RM7,500 ketika itu.
Pelakon era 1980-an itu difahamkan sudah tidak boleh bekerja selepas berhadapan masalah kesihatan akibat diserang angin ahmar pada 2019 yang menyebabkan dia sukar bertutur.
Namun, dua anaknya iaitu Syafiq bersama kakak, Siti Qurratu Aini, 37, tidak bekerja ketika itu kerana masing-masing masih belajar walaupun usia mereka sudah melewati usia 30-an dan sepatutnya membantu meringankan masalah kewangan keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




