Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru semua warga pendidik supaya lebih peka terhadap keadaan rakan sekerja dengan sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat antara satu sama lain.
Seru para pendidik saling bertanya khabar
Seruan itu dibuat susulan insiden seorang guru wanita yang ditemukan maut di sebuah sekolah di Hulu Selangor pada 31 Julai lalu.
Dengar luahan rakan boleh beri kekuatan
Menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial, pertanyaan yang ikhlas dan kesediaan untuk mendengar luahan rakan mampu memberi kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan tekanan.
Beliau berharap budaya saling menyokong dapat terus dipupuk dalam kalangan warga pendidik.
“Kepada guru-guru yang saya kasihi, dalam kesempatan ini saya ingin merayu. Tolong bertanya khabar tentang rakan-rakan guru di sekeliling kita.
“Luangkan sedikit masa untuk mendengar, bertanya dan pastikan mereka benar-benar berada dalam keadaan yang baik. Kadangkala, satu pertanyaan yang ikhlas mampu memberi kekuatan yang sangat besar,” katanya.

Faham kegusaran warga pendidik
Dalam hantaran sama, Fadhlina berkata beliau memahami kegusaran warga pendidik dan masyarakat susulan kejadian tersebut.
Beliau menyifatkan isu kesihatan mental sebagai perkara yang amat dekat di hatinya memandangkan beliau memulakan perjalanan dalam dunia politik sebagai seorang aktivis kesihatan mental.
“Isu ini sangat dekat di hati saya. Apatah lagi, saya sendiri memulakan perjalanan dalam politik sebagai seorang aktivis kesihatan mental.
“Buat semua cikgu yang saya sayangi, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Hulu Selangor, M. Manimaran memaklumkan seorang guru ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik guru sekolah berkenaan selepas pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 pagi.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek




