'Kalau tak boleh bagi duit, dapat sumbangan susu bulanan anak pun jadilah…'

'Kalau tak boleh bagi duit, dapat sumbangan susu bulanan anak pun jadilah…'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Ipoh: “Bukan nak meminta-minta tapi saya tak bekerja kerana ada masalah kesihatan dan gaji suami pun tak cukup.

“Saya harap sangat orang luar faham dan ada yang bantu, kalau tak nak bagi duit pun, dapat bantu beri susu bulanan anak pun jadilah,” kata Nur Natasya Rasid.

Nur Natasya, 29, kini runsing mengenangkan bagaimana dia mahu mencari wang bagi menampung keperluan anaknya, Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi, 8, atau Mardhiah yang menghidap barah mata tahap lima.

Menurutnya, kos bulanan Mardhiah mencecah RM1,800 sebulan dan jumlah itu memang besar kerana suaminya, Muhammad Iqmal Ramli, 30, yang juga bapa tiri anaknya hanya bekerja sebagai pembantu jualan di kedai serbaneka.

Nur Natasya yang mengalami kemurungan major dengan psikosis dan tekanan pasca-trauma (PTSD) berkata, pendapatan bersih suaminya hanya RM1,400 jadi memang tidak cukup kerana perlu menanggung tiga anak lain berumur antara 4 hingga 10 tahun.

“Sebelum ini ada terima bantuan tapi setakat Disember lalu saja dan belum dapat jawapan untuk sambung (bantuan) atau tidak.

“Sebelum ini pun bertahan ihsan orang dan pernah juga terdesak sampai pinjam orang kerana memang tak mampu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi perihal Mardhiah, Nur Natasya berkata, anaknya itu masih menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat Ipoh, Perak.

“Buat masa ini, mata kanannya masih berfungsi dan penglihatan nampak 50 peratus serta kerap kena radang.

“Doktor tak syorkan buat pembedahan besar kerana anak masih kecil selain keadaan telinga kirinya kronik.

“Doktor juga beritahu ketumbuhan akan ada sampai akhir hayat,” katanya.

Nur Natasya berkata, Mardhiah sudah semakin besar, jadi dia faham keadaan dirinya yang ada penyakit dan tidak sama dengan orang lain.

“Ada juga segelintir budak (kanak-kanak) yang menjauhkan diri dan Mardhiah faham situasi itu, ini menyebabkan dia sedih. Sebagai ibu, saya dan suami selalu beri semangat kepada Mardhiah supaya terus kuat,” katanya yang juga mendapat rawatan psikologi di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

Sejak Ogos 2019, Harian Metro menyiarkan kisah Mardhiah (ketika itu berusia 22 bulan) diuji dengan barah mata hingga menyebabkan pancaindera kirinya buta dan rabun di sebelah kanan.

Selain barah, Mardhiah juga menderita masalah usus, paru-paru kronik dan kaki bengkok menyebabkan pergerakannya terbatas hingga terpaksa menggunakan alat sokongan.

Orang ramai yang berhasrat membantu Mardhiah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7634138054 atas nama Muhammad Iqmal Ramli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top