am@hmetro.com.my
Kluang: Cubaan seorang lelaki bersembunyi di bawah katil selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, dekat sini gagal apabila ditahan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai keberadaan individu tidak dikenali dalam rumah terbabit pada 10.30 malam.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Simpang Renggam bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek 15 minit kemudian.
“Ketika ditahan, suspek sedang bersembunyi di bawah katil dalam sebuah bilik di rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah.
“Polis sudah mendapat perintah reman tujuh hari terhadap suspek bermula semalam sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822.
Terdahulu, tular beberapa video
memaparkan seorang individu dipercayai pecah masuk rumah sebelum tindakannya disedari penduduk setempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




