redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: “Kami ambil bukan untuk memiliki tapi kerana nak menjaga kemuliaan kalimah yang ada pada beret itu,” kata seorang bapa dikenali Zalizan.
Zalizan, 44, menarik perhatian warganet selepas berkongsi gambar bersama coretan kisah bagaimana dia dan anak kedua, Muhamad Izz Ziaulhaq, 14, atau mesra disapa Haq menemui sebelum mengembalikan beret yang tertera kalimah Allah SWT dan Muhammad SAW di balai polis berhampiran.
Perkongsian Zalizan di Threads itu kemudiannya tular di media sosial dan meninjau ruangan komen memuji Zalizan dan Haq kerana menunjukkan teladan yang baik.
Berkongsi kisah sebenar, Zalizan dari Sungai Merab, di sini berkata, dia dan Haq menemui beret dipercayai milik anggota polis pada Ahad lalu di satu kawasan dekat Balakong, Selangor.
“Waktu itu, kami baru selesai menghadiri kenduri dan ketika berjalan ke kereta, saya ternampak beret berkenaan dan meminta Haq ambil.
“Saya risau orang pijak minta tolong Haq cuci bila sampai di rumah tapi mungkin kerana Haq kepenatan, akhirnya saya yang cuci beret itu.
“Hari yang sama (Ahad), saya tanya Haq sama ada dia nak ikut ke balai atau tidak untuk hantar beret itu dan dia okay,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, Haq kemudian mengembalikan beret kepada pegawai bertugas di kaunter Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda, di sini.
“Haq tak kata dia bangga tapi nampak riak wajah puas selepas mengembalikan beret itu.
“Saya pun sama kerana ayah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jadi bila tengok beret itu , rasa satu amanah menjaga kemuliaannya terutama bila ada kalimah suci.
“Mungkin nampak kecil tapi ia mengajar kita soal adab dan itu yang nak tunjukkan kepada Haq.
“Bila ke balai polis itu pun sebenarnya mengembalikan memori bawa Haq ke situ satu ketika dulu.
“Ia kerana saya nak mendidik anak dengan beri pengajaran, salah satunya dengan bawa dia ke balai untuk dia sedar apa akibatnya jika melakukan kesalahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




