Hao Sheng pikul tugas penting bersama skuad tenis negara

Hao Sheng pikul tugas penting bersama skuad tenis negara

aida_adilah@hmetro.com.my

Singapura: Pemain berpengalaman, Koay Hao Sheng mengalas misi besar tahun ini apabila dilantik sebagai ketua pasukan merangkap jurulatih skuad tenis negara di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, Mulyadi Jamal.

Hao Sheng yang menyumbang dua pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki dan beregu di Sukan Sukan Sea Kemboja, dua tahun lalu berkata, dia menerima tawaran itu tahun ini dan bersedia untuk membantu skuad negara mencapai sasaran ditetapkan.

Tiga kejohanan penting tahun ini menjadi fokus utama bermula dengan Piala Billie Jean, Piala Davis yang dijangka berlangsung sekitar Jun dan Julai diikuti Sukan Sea Thailand 2025 pada Disember.

Justeru Hao Sheng menaruh harapan tinggi untuk skuad negara meraih lebih banyak kejayaan dengan keutamaan untuk menukar warna pingat di Sukan Sea dan membawa pasukan Piala Davis mencapai keputusan lebih baik selepas tergelincir di kumpulan keempat, tahun lalu.

“Saya bersetuju untuk membantu Tenis Malaysia (TM) dengan tawaran diberikan untuk kontrak setahun sehingga Sukan Sea Thailand Disember ini.

“Ini kerana kita mempunyai banyak pemain berpotensi untuk diketengahkan, tapi mereka memerlukan tunjuk ajar agar boleh menjadi lebih matang dengan cepat.

“Saya berharap dapat kongsi pengalaman ini bersama mereka menempuh perjalanan dalam karier tenis,” katanya yang pernah berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dia yang ditemui selepas Klinik Tenis di Kallang Tenis Hub anjuran Asics Malaysia sempena pelancaran kasut baharu Gel-Resolution X, di sini, hari ini berkata, antara pemain remaja mempunyai potensi besar adalah Darrshan Kumar, 17; Aqil Rahiman, 15, Daania Hazli, 14, dan Mak Zooey, 14.

Darrshan dan Aqil berjaya mengawal tekanan biarpun beraksi buat kali pertama di kejohanan peringkat senior di Kejohanan Tenis Jemputan Terbuka Singapura, semalam.

“Biarpun kita menduduki tempat ketiga di kejohanan itu, potensi yang ditunjukkan pemain muda sangat mengagumkan.

“Ia satu pendedahan yang baik buat pemain lelaki dan wanita kerana rata-rata mereka masih muda di antara umur 15 hingga ke 18 tahun,” katanya.

Hao Sheng, Elsa Wan dan Darrshan yang semuanya taja oleh Asics, menghadiri Sidang Kemuncak Tenis Serantau di sini, hari ini yang diadakan sempena pelancaran kasut tenis Asics Gel-Resolution X.

“Saya ditaja oleh Asics untuk tahun ketiga dan sentiasa merasa selesa menggunakan pakaian dan kasut mereka,” kata Hao Sheng.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top