am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis meminta bantuan orang ramai, waris atau ahli keluarga yang mempunyai orang hilang sejak 19 Ogos lalu untuk menghubungi pihak berkuasa itu, susulan kejadian penemuan mayat lelaki di ruang tayar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tumpuan polis adalah mereka yang mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar KLIA sejak tarikh berkenaan, untuk tampil membantu mengenal pasti mayat seorang lelaki yang ditemukan dalam ruang simpanan tayar pesawat di Terminal 2 (KLIA2).
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi, berkata pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR) pada 27 Ogos lalu berhubung penemuan mayat lelaki tanpa identiti itu.
“Usaha kini dilakukan bagi mengesan waris atau ahli keluarga mangsa untuk membantu proses pengecaman serta siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang atau gagal dihubungi sejak 19 Ogos 2026, khususnya yang dipercayai mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar lapangan terbang KLIA diminta untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi IPD KLIA,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 03-87768926, Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Ridzuan Mohd Rosli di talian 011-14453057 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nicholas Anak Idel di talian 018-7017291.
Mayat lelaki itu ditemukan pada pagi 27 Ogos lalu di dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat yang mendarat di KLIA2 selepas penerbangan dari Tokyo, Jepun.
Ia ditemui oleh kakitangan kejuruteraan ketika melakukan pemeriksaan terhadap ruang simpanan tayar selepas terhidu bau busuk.
Ketika ditemukan, mayat terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal.
Pemeriksaan awal turut mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Mangsa ketika ditemui memakai hoodie putih bergambar naga di bahagian belakang dan mempunyai tulisan ‘OAKLEY’ di bahagian hadapan, selain seluar jeans biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stoking dan kasut sukan hitam.
Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat, manakala siasatan dijalankan mengikut SDR.
Sehubungan itu, polis berharap maklumat daripada keluarga atau kenalan individu yang hilang dalam tempoh berkenaan dapat membantu mengenal pasti identiti mangsa sekali gus melengkapkan siasatan kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd


