Pengampunan Najib bukan soal kebencian, diputuskan berlandaskan undang-undang – PM Anwar

Pengampunan Najib bukan soal kebencian, diputuskan berlandaskan undang-undang – PM Anwar

Penangguhan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat dengan mengambil kira prinsip negara hukum, Perlembagaan serta nasihat berkaitan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengampunan Najib bukan soal kebencian, diputuskan berlandaskan undang-undang – PM Anwar

Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, penglibatan beliau dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan juga dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang serta panduan rasmi yang diberikan oleh Peguam Negara.

“Namun, kita tahu juga ini budi bicara wewenang Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya (Yang di-Pertuan) Agong harus mengambil kira semua faktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar bersama media Malaysia di Calicut, India, sebelum mengakhiri lawatan kerja selama lima hari ke negara berkenaan.

Menurut Anwar, perkara berkaitan pengampunan Najib tidak wajar dijadikan isu peribadi atau dipengaruhi sentimen tertentu, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan prinsip undang-undang serta tatakelola negara.

“Bagi saya, dalam soal menjalankan tugas ini, kita harus tunduk pada prinsip negara hukum dan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan.
“Jadi, saya hanya beri pandangan begitu… saya tidak pernah mengambil sikap yang prasangka ataupun kebencian… tidak,” jelasnya.

Anwar berkata, beliau menyedari terdapat pertimbangan politik serta pendirian tegas daripada pimpinan UMNO berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau memilih untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan prinsip yang diyakini betul, meskipun menyedari terdapat jalan yang lebih mudah untuk diambil.

“Saya tahu kalau jalan mudah apa dia, jalan susah apa dia tetapi saya ambil jalan yang saya anggap betul, ikut lunas hukum dan juga apa yang kita anggap penting dari segi semangat tatakelola dan hukum dalam negara,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Sultan Ibrahim memberi perkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan pada masa akan datang.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara pada 11 September.

Artikel lain: Tangguhkan pengampunan Najib? PAS tuntut kerajaan beri penjelasan!

Sebelum ini, pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Kesalahan tersebut membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Scroll to Top