Houthi dakwa Arab Saudi lancar 54 serangan udara ke Yaman

Sanaa: Houthi Yaman mendakwa Arab Saudi melancarkan serangan udara di beberapa kawasan di barat negara itu selepas kumpulan disokong Iran berkenaan sebelum itu mengumumkan serangan terhadap kemudahan tentera di Arab Saudi.

Kumpulan memerangi kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong Arab Saudi itu berkata, mereka menguasai pantai Laut Merah Yaman serta Selat Bab al-Mandab minggu lalu, yang menjadi laluan penting ketika perang lebih luas antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjejaskan Selat Hormuz.

Houthi mendakwa Riyadh melancarkan 54 serangan ke atas Yaman dalam tempoh 24 jam selepas kumpulan itu melancarkan puluhan dron dan peluru berpandu ke kemudahan tentera Saudi.

Tindakan itu mendorong pertahanan awam Arab Saudi mengeluarkan amaran di bandar Khamis Mushait dan Abha di selatan negara berkenaan.

Pertahanan awam kemudian mengeluarkan amaran ringkas di Najran, barat daya Arab Saudi, tanpa menjelaskan punca amaran itu.

Seorang penduduk Khamis Mushait memberitahu AFP bahawa dia mendengar letupan kuat yang menyebabkan kebakaran berlarutan untuk tempoh lama.

“Sejujurnya, kami langsung tidak dapat tidur.”

Serangan peluru berpandu Houthi di barat Yaman membunuh lapan anggota tentera kerajaan Yaman, menurut dua sumber tentera daripada pentadbiran berpangkalan di Aden kepada AFP.

Saluran televisyen Al-Masirah milik Houthi pula melaporkan dua orang awam terbunuh dalam serangan Saudi yang memusnahkan sebuah jambatan di wilayah Taiz, yang menyaksikan antara pertempuran paling sengit di Yemen sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Pertempuran yang kembali tercetus di Yaman berlaku ketika perang serantau lebih luas masih menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump pada Isnin berkata beliau terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Iran.

“Negara Iran yang gagal itu mahu membuat perjanjian, dengan cepat dan bersungguh-sungguh. Saya akan menentukan sama ada AS akan memilih untuk berunding atau tidak – kami terbuka kepada perkara itu,” kata Trump menerusi rangkaian Truth Social.

Perang serantau lebih luas

Pada Isnin, cadangan pertemuan antara negara Teluk dan Iran mengenai masa depan Selat Hormuz ditangguhkan, dengan Tehran menuduh Riyadh menggunakan Yaman sebagai alasan untuk menangguhkan rundingan.

Tehran sudah lama menyokong Houthi, anggota paksi penentangan terhadap Israel, termasuk dengan membekalkan senjata dan teknologi. Bagaimanapun, penganalisis berbeza pandangan mengenai sejauh mana Iran terbabit dalam pertempuran yang kembali tercetus itu.

“Iran tidak campur tangan dalam urusan Yemen,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, kepada pemberita pada Isnin, sambil menyifatkan Houthi sebagai “pelaku yang sepenuhnya bebas dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan mereka sendiri.”

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, dijangka mengadakan rundingan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada Selasa, menurut pengumuman Kaherah.

Mirette Mabrouk, pakar di Middle East Institute yang berpangkalan di Washington, berkata Putera Mohammed akan mendapatkan “jaminan bahawa jika perlu, Mesir akan tampil melindungi Bab al-Mandab.”

Katanya, Mesir yang laluan penting Terusan Suez turut terancam akibat sekatan Houthi, “akan berperang jika perlu, tetapi itu bukan kedudukan utama.”

“Kedudukan utama adalah menggunakan setiap pilihan lain terlebih dahulu,” katanya.

Media AS melaporkan minggu lalu bahawa Trump menolak permintaan peribadi Putera Mahkota Arab Saudi untuk campur tangan dalam perang itu.

Perang saudara Yaman yang berlarutan tidak aktif selama empat tahun sebelum tercetus semula pada Julai susulan penerbangan Iran ke ibu negara, Sanaa, sekali gus menjadi konflik terbaharu yang terheret ke dalam perang serantau lebih luas.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, pada Isnin berkata Arab Saudi melancarkan 54 serangan udara dalam tempoh 24 jam menggunakan pesawat F-15 dan Typhoon.

Katanya, kawasan Taiz, Lahj, Al-Jawf, Marib dan Hodeida menjadi sasaran.

Terpaksa melarikan diri

Pasukan kerajaan Yaman pada Ahad berkata mereka menawan semula kedudukan di wilayah Taiz di barat daya daripada pejuang Houthi dan melancarkan serangan udara, dengan memaklumkan agensi berita rasmi Saba bahawa sekurang-kurangnya 10 pejuang terbunuh.

Putera Mahkota Arab Saudi menerima kunjungan Ketua Komando Pusat AS, Laksamana Brad Cooper, di Jeddah pada Isnin bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau ini, menurut agensi berita Arab Saudi, SPA.

Laksamana AS itu ke Arab Saudi pada Khamis bagi mengadakan mesyuarat penyelarasan segera, menurut laman berita AS, Axios.

Houthi merampas ibu negara Yaman, Sanaa, pada 2014 ketika perang saudara bermula, menyebabkan kerajaan berpindah ke Aden di selatan.

Pada tahun berikutnya, Arab Saudi mengetuai gabungan untuk campur tangan menyokong kerajaan, melancarkan serangan udara bertubi-tubi ketika konflik meningkat menjadi antara bencana kemanusiaan paling buruk di dunia.

Pada Isnin, agensi migrasi PBB berkata pertempuran yang kembali tercetus di negara Arab paling miskin itu menyebabkan 93,864 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top