Bekas pengurus didakwa pecah amanah projek TH

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Seorang bekas pengurus projek pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan mengutip penalti RM14,000 membabitkan projek pembinaan bangunan komersial milik Tabung Haji, pada November 2017 dan Ogos 2018.

Mohamad Hashim Mukhatap, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengurus pembinaan THP Timur Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang berjumlah RM14,000 ke dalam akaun bank miliknya yang juga hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Kelpile Sdn Bhd.

la membabitkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi pangsapuri perkhidmatan, penthouse, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, aras bawah tanah tambahan dan kemudahan yang berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Sofea Residensi, Seksyen 12, di sini antara 15 November 2017 dan 8 Ogos 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun hingga 20 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan tertuduh diwakili peguam, Fahmi Abd Moin.

Terdahulu, Mariah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport serta tidak boleh mengganggu saksi.

Fahmi pula memohon jaminan RM5,000 sambil menjelaskan anak guamnya seorang pengurus sebuah syarikat swasta dengan pendapatan bulanan isi rumah RM12,000.

Katanya, anak guamnya juga menanggung anak yang masih bersekolah serta ibunya selain menegaskan tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM dan mahkamah.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan, menyerahkan pasport selain tidak mengganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top