am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjelaskan prosiding yang dilaksanakan pihaknya adalah berkaitan pengurusan lapangan terbang awam yang mana Kementerian Pengangkutan adalah pemegang taruh utama dalam pengurusan lapangan terbang awam.
Justeru, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan pihaknya memanggil Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai usaha untuk menambah baik pengurusan lapangan terbang awam bukannya disebabkan faktor politik.
Mas Emeieyati berkata beliau sangat terkejut dan terkilan dengan kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Seremban itu yang mendakwa PAC memanggilnya hanya disebabkan beliau dari parti DAP.
Katanya, pandangan diutarakan oleh Loke itu tidak tepat memandangkan PAC sudah memanggil ramai Menteri serta mantan menteri dalam setiap prosiding yang diadakan dan ia tiada kena mengena dengan parti diwakili mereka.
“Skop prosiding tidak terhad semata-mata kepada pengambilalihan MAHB oleh konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) tetapi turut merangkumi isu kenaikan harga tiket ke Sarawak dan Sabah dan isu kelewatan pemasangan aerotrain Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
“Justeru, saya ingin bertanya kepada YB Anthony Loke adakah beliau tidak mahu memberikan maklum balas atau pandangan sebagai Menteri Pengangkutan bagi menambah baik pengurusan lapangan terbang awam negara untuk dimasukkan dalam Laporan PAC.
“Sekiranya enggan terpulanglah kepada beliau dan sejarah akan merekodkan seorang Menteri Kabinet enggan hadir di hadapan PAC untuk memberikan pandangan dan penjelasan sedangkan ia adalah demi kebaikan rakyat dan negara.
“Semua menteri yang hadir di hadapan PAC adalah atas tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Loke mempersoal tindakan PAC untuk memanggil beliau susulan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB.
Menyifatkan ia bermotifkan politik, Loke turut mempertikai kenyataan Mas Ermieyati itu sama ada ia cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadapnya memandangkan beliau adalah seorang menteri daripada DAP.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata PAC mahu memastikan penyata berhubung isu ini adalah sebuah laporan yang komprehensif, tidak berat sebelah dan dokumen yang menjadi rujukan semua pihak demi rakyat dan negara.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa selaku Pengerusi PAC sentiasa berpegang kepada keputusan konsensus oleh semua 13 ahli PAC dalam membuat keputusan untuk memulakan prosiding atau memanggil saksi bagi menghadiri setiap prosiding,” katanya.
Mas Ermieyati turut mempersoal Loke sama ada Pengerusi PAC sebelum ini turut memanggil individu lain atas dasar politik.
“Adakah Pengerusi PAC sebelum saya, yang juga daripada DAP mengadakan prosiding dengan memanggil saksi di kalangan Menteri Kabinet disebabkan parti mereka sama ada Umno, Bersatu atau MCA.
“Pada pandangan saya, semua Pengerusi PAC bertindak profesional dalam memastikan kredibiliti dan profesionalisme jawatankuasa ini sentiasa terpelihara dan dihormati sejak penubuhannya pada tahun 1959,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




