Hubungan Najjb, Almarhum Raja Abdullah seperti bapa dan anak

Hubungan Najjb, Almarhum Raja Abdullah seperti bapa dan anak

ajohari@bh.com.my

Putrajaya: Hubungan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud diibaratkan seperti bapa dan anak.

Demikian dinyatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau memberitahu melihat sendiri keakraban di antara kedua-dua pemimpin itu pada pertemuan tidak rasmi di istana Raja Abdullah yang terletak di Riyadh pada 11 Januari 2010.

Menurut Jamil Khir, ketika itu beliau mengikuti kedua-dua pemimpin negara terbabit dari belakang.

“Saya melihat sendiri Raja Abdullah menarik tangan Datuk Seri Najib sebelum mereka berdua berjalan berpimpin tangan ke ruangan tengah, tempat mesyuarat sambil berbincang berdua tanpa kehadiran orang lain.

“Dari apa yang saya dengar, Raja Abdullah berhasrat untuk memberikan dana peribadi kepada Datuk Seri Najib.

“Pada pengamatan saya, cara mereka berdua berjalan, bercakap dan berinteraksi, Raja Abdullah dan Datuk Seri Najib kelihatan seperti bapa dan anak,” katanya.

Jamil Khir berkata demikian pada prosiding bela diri Najib terhadap empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Jamil Khir berkata, Najib tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk memaklumkan Kabinet berhubung bantuan dana berkenaan.

Katanya, ia adalah kerana, bantuan terbabit adalah untuk tujuan politik dan bukannya sumbangan kepada negara.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar sama ada ‘derma’ itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Jamil Khir berkata, “Najib tidak memaklumkan kepada Kabinet.”

Disoal lanjut sama ada beliau menjalankan pemeriksaan untuk menentukan sama ada dana itu benar-benar dari Arab Saudi, katanya, “tiada keperluan (untuk berbuat demikian).”

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Keadilan bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top