Hanya ubat tahan sakit kurangkan derita Nurzulaikha

Hanya ubat tahan sakit kurangkan derita Nurzulaikha

am@hmetro.com.my

Kuantan: “Ibu mana yang tidak sayu melihat anak perempuan tunggal dalam keadaan tidak bermaya serta lemah akibat menderita kanser hati tahap empat,” kata Zulaini Ibrahim, 49.

Katanya, dalam tempoh empat bulan selepas disahkan mengidap kanser hati tahap kesihatan Puteri Nurzulaikha Muhammad Ali, 14, merosot hingga ada ketikanya dia tidak mampu berjalan.

Menurutnya, dia kini hanya mampu berdoa pada Allah SWT semoga penyakit anaknya sembuh walaupun peluangnya begitu tipis.

“Doktor yang merawat Puteri Nurzulaikha mendakwa setakat ini tiada ubat yang sesuai untuk diberikan,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu dia sedia melakukan pemindahan hati, namun doktor menyatakan usaha berkenaan tidak dapat dilakukan kerana hampir keseluruhan hati anaknya sudah rosak disebabkan kuman kanser yang begitu cepat merebak.

“Setiap kali melihat keadaan Puteri Nurzulaikha semakin kurus, muka kekuningan dan bibir kehitaman, saya menangis seolah-olah tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung. Ingin sahaja kesakitan dirasai beralih pada saya.

“Hanya ubat menahan sakit dibekalkan pihak hospital bertujuan mengurangkan penderitaan dialami,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Back To School oleh Yayasan Sime Darby disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Yayasan Pahang (KYP) Education Sdn Bhd, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin di sini, kelmarin.

Zulaini berkata, anaknya sebelum ini sering pengsan dan berlaku kekurangan darah menyebabkan dia tidak bermaya.

“Hampir setahun pihak hospital gagal mengesan kanser hati yang ditanggung. Bagaimanapun, selepas pemeriksaan CT Scan dilakukan doktor pakar di hospital swasta di sini, terbukti Puteri Nurzulaikha mengidap kanser hati tahap empat.

“Hanya Tuhan yang mengetahui perasaan saya apabila mengetahui keadaan sebenar Puteri Nurzulaikha, ujian yang saya terima begitu berat dan amat susah untuk diterima insan bergelar ibu.

“Saya terlalu bimbang untuk hadapi episod sama selepas anak lelaki berusia lapan tahun pergi lebih awal selepas mengidap kanser darah atau luekimia pada 2013. Setiap hari saya berdoa cukup sekali ujian kehilangan anak.

“Saya tidak kuat untuk hadapi ujian amat berat, Puteri Nurzulaikha sering mengingatkan saya supaya tidak terus bersedih dan menangis melihat penderitaan dia tanggung,” kata ibu tujuh cahaya mata itu.

Sementara itu, Shahaniza berkata, pihaknya akan memohon bantuan daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban keluarga pelajar terbabit berikutan bapanya hanya bekerja sebagai tukang kasut di bandar ini.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin apa juga masalah rakyat, pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan bagi meringankan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top