Slot digantung dua perlawanan

Slot digantung dua perlawanan

Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Arne Slot digantung dua perlawanan selepas pengurus dari Belanda itu dilayangkan kad merah ketika pasukannya seri 2-2 dengan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi hari ini.

Slot diberikan kad merah oleh pengadil Michael Oliver kerana menggunakan “bahasa yang menyinggung, menghina atau kasar,” kata liga itu di laman webnya hari ini.

Pengendali berusia 46 tahun itu tidak boleh berada di tempat duduk pemain dalam dua perlawanan Liverpool berikutnya, di tempat sendiri menentang Wolverhampton Wanderers pada Ahad dan di Aston Villa pada Rabu.

Slot sebelum ini turut menjalani hukuman sama ketika Liverpool menentang Southampton dalam aksi Piala Liga susulan mendapat kad kuning ketiga musim ini ketika seri 2-2 dengan Fulham dalam saingan liga.

Penolong jurulatih Liverpool, Sipke Hulshoff, juga dilayangkan kad merah semasa kekecohan selepas perlawanan yang menyebabkan kedua-dua mereka tidak dibenarkan bercakap kepada media selepas perlawanan.

Abdoulaye Doucoure dari Everton dan pemain tengah Curtis Jones dari Liverpool juga mendapat kad merah susulan kekecohan selepas perlawanan yang tercetus apabila Doucoure meraikan gol penyamaan James Tarkowski penghujung masa tambahan di hadapan penyokong pelawat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top