Masa berlalu dirasakan begitu pantas sekali. Ini juga bermakna umur kita semakin meningkat dan sewajarnya kita sentiasa bermuhasabah iaitu sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sempurna dan sudahkah kita bersedia dengan amalan yang akan dibawa menemui Allah?
Bulan Syaaban menyusul selepas Rejab. Manakala selepas itu, akan datang pula bulan yang mengandungi penuh rahmat iaitu bulan Ramadan al-Mubarak.
Apabila membicarakan mengenai bulan Syaaban, maka sewajarnya kita merujuk kepada riwayat yang sahih dan yang diterima oleh ulama supaya kita tidak termasuk dalam golongan ‘pak turut’ yang hanya melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Sedangkan Islam itu sendiri adalah agama ilmu, maka sewajarnya apa yang hendak dilakukan mesti berteraskan ilmu.
Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, riwayat yang sahih pada pertengahan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram.
Perkara itu dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud: “Kerap kali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka ke arah al-Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…”
Selain peristiwa terbabit, sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi SAW memperbanyakkan puasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah RA menyatakan bahawa: “Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”
Usamah bin Zaid pula menceritakan: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban”, lalu baginda menjawab: “Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu, saya (baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas’aei)
Justeru, daripada hadis di atas, kita mendapati nabi SAW amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadan seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana ‘datang bulan’, maka ini waktu yang sesuai untuk memastikan segala ‘hutang’ dilunaskan sebelum tiba Ramadan. Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.
Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan sunat lain untuk memepertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu bapa, memohon restu kehadrat Allah SWT bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.
Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam Nisfu Syaaban. Biasanya pada malam Nisfu Syaaban, masjid dan surau akan merayakan malam terbabit dengan amalan tertentu.
Di beberapa tempat di negara kita, pada malam Nisfu Syaaban, orang ramai biasanya berkumpul di masjid dan mereka membaca surah Yasin bersama, kemudian melakukan solat sunat dua rakaat dengan niat panjang umur.
Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi, tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam Nisfu Syaaban dan semua hadis mengenainya bertaraf daif.
Bagaimanapun, ada hadis mengenai fadilat malam Nisfu Syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulama, walau ia sudah didaifkan oleh sebahagian ulama lain. Hadis terbabit ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah
Hadis ini tidak mengajar kita apa bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan tertentu pada malam terbabit (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali dan menunaikan solat tertentu sempena Nisfu Syaaban) adalah bukan ajaran nabi SAW.
Justeru, daripada pandangan ulama seperti yang dikemukakan oleh Prof Yusuf Al-Qardhawi, Sheikh Mutawalli Sya’rawi, Syeikh Abdul Karim Zaidan dan sebagainya, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli.
Ini bukan bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam Nisfu Syaaban, tetapi kita tidak boleh melakukan amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam Nisfu Syaaban. Namun, untuk membaca ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan. Alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu supaya pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat.
Justeru, amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam Nisfu Syaaban, tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan kebajikan terbabit pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan terbabit bertepatan dengan hukum syarak, maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkan amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak!.
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd




