80 suspek sindiket penipuan dalam talian didakwa esok

80 suspek sindiket penipuan dalam talian didakwa esok

am@hmetro.com.my

Tawau: Seramai 80 individu yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian di daerah ini, akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok.

Perkara itu disahkan oleh pihak polis menerusi satu makluman dalam kumpulan WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau hari ini.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 78 warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos, bakal berdepan pertuduhan berkaitan pakatan jenayah serta kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Difahamkan, prosiding pendakwaan membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan bagi kesalahan pakatan jenayah akan dikemukakan di mahkamah Majistret manakala pertuduhan berkaitan kesalahan imigresen akan didengar di hadapan hakim mahkamah Sesyen.

Tempoh reman kesemua suspek yang ditahan dalam satu operasi bersepadu polis selepas disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa antarabangsa berakhir semalam dan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, serbuan kira-kira jam 9.20 malam minggu lalu berjaya membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai menjalankan penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai anggota polis dari China, yang menyasarkan mangsa di luar negara khususnya warga berketurunan Cina di Amerika Syarikat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top