DAP wajar kekal tapi nilai semula hubungan dengan Anwar – Perwakilan

PUTRAJAYA – DAP wajar kekal dalam Kerajaan Perpaduan buat masa sekarang, namun parti itu perlu menilai semula hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perwakilan DAP Selangor, Sangeet Kaur Deo berkata, parti itu perlu terus berada dalam Kerajaan Persekutuan kerana ia memerlukan lebih masa untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan dalam parti.

“Kita boleh menunjukkan pelbagai reformasi yang dilaksanakan menteri kita dan memang banyak.

“Di peringkat kementerian, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan adalah kukuh.

“Tetapi, kita tidak boleh mengetepikan masalah lebih besar yang sedang dihadapi parti. Dalam banyak-banyak isu, kita memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menggugat kestabilan kerajaan,” katanya.

Peguam itu berkata demikian semasa Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Sangeet berpandangan, DAP tidak boleh lari daripada hakikat yang kerajaan hari ini semakin terpisah akibat isu perkauman, tidak sama seperti sebelumnya.

Tambah beliau, parti juga tidak boleh menafikan wujudnya beberapa kontroversi mengenai rasuah yang semakin menjadi perhatian sepanjang parti berada di dalam kerajaan.

“Kita mendapat mandat untuk memerintah atas janji mahu membanteras rasuah.

“Adakah kita sudah melakukannya? Belum. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi 47 pertuduhan ke atasnya.

“Kita juga berdepan kontroversi melibatkan institusi negara, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.

Sangeet mendakwa, UMNO juga secara terbuka menyerang DAP walaupun kedua-dua parti berada dalam satu gabungan Kerajaan Persekutuan.

“Adakah mereka ini benar-benar rakan gabungan yang boleh kita bekerjasama?

“Justeru, saya menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dengan serius menilai semula hubungan kita dengan Anwar.

“Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang beliau lakukan? Beliau memecah-belahkan kita dan melaga-lagakan satu pihak dengan pihak lain.

“Beliau memperkukuhkan UMNO. Kenapa? Perkara ini tidak boleh kita abaikan,” jelasnya.

Kesemua 14 perwakilan negeri ketika menyampaikan ucapan masing-masing dilihat menyokong usul DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, keputusannya perlu diterjemahkan di atas kertas undi oleh 4,200 perwakilan termasuk kepimpinan tertinggi CEC DAP.

 

 

 

Scroll to Top