Bakal Beraksi di Pentas Berprestij DFP, Slam Imbau Kenangan Pernah Dilabel Band Kampung

Bakal Beraksi di Pentas Berprestij DFP, Slam Imbau Kenangan Pernah Dilabel Band Kampung

Selepas lebih tiga dekad dalam industri muzik, kumpulan Slam bakal melakar sejarah dengan mengadakan konsert pertama mereka di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 8 Jun depan.

Vokalis kumpulan itu, Zamani, bersama empat anggota lain berasa terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepada mereka, walaupun ada pihak yang pernah melabelkan Slam sebagai ‘band kampung’.

Menurut Zamani, mereka tidak pernah berkecil hati dengan gelaran tersebut, sebaliknya bangga kerana muzik mereka masih diterima baik hingga kini.

“Alhamdulillah, kami okay sahaja sebab lagu yang dibawa memang begitu. Tak salah ada yang menggelarkan lagu kami ‘leman’ sebab itulah konsep Slam.

“Kami tak rasa rendah diri sebab sudah lama tampil dengan konsep ini. Itu maknanya peminat faham konsep yang dibawakan.

“Jadi, apabila DFP bersedia nak panggil Slam, maknanya mereka bersedia dengan konsep dan terima kami untuk buat persembahan.

“Tak pernah lagi Slam berkecil hati jika orang menganggap kami ‘band kampung’, ‘leman’ dan sebagainya.

“Kami bangga dengan apa yang dibawa sebab sampai sekarang orang boleh terima lagu-lagu Slam,” katanya.

Zamani bersama anggota Slam lain iaitu Shah (gitar utama), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) ditemui dalam sidang media konsert mereka di DFP, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tahap kesihatannya, Zamani optimis mampu memberikan persembahan terbaik dan sentiasa menjaga kesihatan demi konsert ini.

“Kesihatan saya, Alhamdulillah baik setakat ini. Saya harap semuanya berjalan lancar. Selepas pembedahan, saya sudah mengadakan dua konsert dan semuanya okay.

“Jujurnya, memang tiada perancangan lain, tapi saya yakin semuanya boleh berjalan lancar. Ketika latihan sekiranya nampak apa yang mungkin boleh memberikan impak, saya akan bersiap sedia,” katanya.

Pemain gitar utama Slam, Shah, turut yakin konsert berdurasi satu jam 30 minit itu akan berlangsung dengan baik dan menegaskan mereka tidak pernah meragui kemampuan Zamani.

“Ada ketika waktu latihan, kami suruh Zamani rehat. Misalnya, selang beberapa minggu berlatih kami suruh dia berehat. Kita jaga kesihatan masing-masing.

“Tapi, jujurnya bila kita tengok pencapaian Zamani, dia sebenarnya lebih baik daripada kebanyakan penyanyi lain sebab mampu nyanyi lebih dua jam tanpa berhenti.

“Orang hanya nampak Zamani tak sihat, jadi orang pertikaikan kredibilitinya. Baru-baru ini, showcase selama tiga jam, tapi dia okay sahaja. Jadi, kami cuma harap masa konsert nanti semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam konsert istimewa di DFP nanti, Slam akan mengimbau kenangan indah era 90-an dengan menyanyikan rangkaian lagu hits mereka seperti Gerimis Mengundang, Tak Mungkin Berpaling, Mentari Muncul Lagi, Manisnya Rindu, Rindiani, Jika Kau Rasa Getarnya dan Kembali Terjalin.

Scroll to Top