am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Semakin berani dan tidak takut tindakan undang-undang. Itu gambaran terhadap ramai warga asing yang didapati membuka perniagaan terutama restoran dan pusat mencuci kenderaan di daerah ini.
Ini terbukti apabila pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menggempur premis perniagaan dikendalikan warga asing menerusi operasi bersepadu di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, di sini, semalam.
MPKS berkata, seramai 35 anggota jabatan penguatkuasa terbabit operasi bermula jam 10 pagi hingga 2 petang membabitkan empat lokasi berbeza.
“Operasi turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor).
“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan tempatan oleh premis-premis perniagaan khususnya dikendalikan warga asing,” katanya.
Dalam serbuan di lokasi pertama, sebuah restoran diperiksa dan didapati melanggar beberapa peraturan.
“Dua kompaun dikeluarkan berkaitan lesen dan iklan manakala satu notis berhenti perniagaan juga dikenakan. Beberapa barang seperti kerusi, meja, tong gas dan dapur gerai disita.
“Lokasi serbuan kedua membabitkan restoran yang melakukan banyak pelanggaran. Empat kompaun dikeluarkan kerana beroperasi tanpa lesen, iklan tidak sah dan pencerobohan kaki lima.
“Notis berhenti perniagaan turut dikeluarkan dan barang seperti tong gas, meja makan, kerusi dan dapur gerai disita,” katanya dalam satu kenyataan.
MPKS berkata, bagi lokasi ketiga dan keempat, membabitkan pusat cuci kenderaan.
“Di lokasi ketiga, empat kompaun dikeluarkan kerana halangan, tiada lesen, iklan tidak sah dan isu tanjakan. Notis berhenti perniagaan dikeluarkan dan barang seperti penyedut vakum, tong sabun, pam angin, pam air, dan mesin ‘fogging’ disita.
“Di lokasi keempat, dua kompaun dikeluarkan kerana ketiadaan lesen dan iklan tidak sah. Notis berhenti perniagaan juga dikeluarkan dan barang seperti penyedut vakum, pemampat udara, tong bancuh sabun, pam angin dan pam air disita.
“Selain itu, SSM turut mengambil tindakan di lokasi ini iaitu Tindakan Kompaun Terus mengikut Kaedah 17A (2) APP 1956 kerana tidak mempamerkan papan tanda nama perniagaan dan nombor perniagaan,” katanya.
Ujar MPKS, secara keseluruhan operasi ini berjaya menguatkuasakan peraturan tempatan dengan mengeluarkan kompaun, notis dan menyita barangan premis yang melanggar undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
