Kehadiran anggota polis di galeri buku hanya rondaan rutin

Kehadiran anggota polis di galeri buku hanya rondaan rutin

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Kehadiran anggota polis di sebuah galeri buku, di sini, hanya sekadar rondaan rutin dan tidak bertujuan mengganggu aktiviti yang dijalankan secara sah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata demikian susulan satu hantaran di media sosial galeri terbabit berhubung kehadiran pihak berkuasa di premis mereka.

Menurutnya, pihaknya mengesan ciapan di akaun X milik galeri berkenaan berhubung kehadiran polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di premis terbabit.

“Adalah ditegaskan bahawa kehadiran polis bukan bertujuan mengganggu sebarang program atau aktiviti masyarakat atau mana-mana kumpulan yang diadakan secara sah.

“Kehadiran pihak penguat kuasa KDN dan polis unit rondaan adalah pada tarikh yang berbeza dan bagi tujuan berbeza.

“Pihak KDN melakukan pemeriksaan pada kelmarin manakala unit rondaan polis melakukan rondaan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis menjalankan aktiviti rondaan rutin dalam memantau sebarang program yang diadakan dan hanya membabitkan pemantauan di luar premis.

Katanya, semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen yang boleh mengelirukan orang ramai kerana dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu, galeri berkenaan memuat naik hantaran menerusi akaun X mereka mempersoalkan kehadiran pihak berkuasa dalam dua hantaran berasingan pada semalam dan kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top