Edar kuih kapit hingga 10k balang sebulan

Edar kuih kapit hingga 10k balang sebulan

Kuala Lumpur: KJ Chips House, pengeluar produk makanan Larizqla kini mula mengintai pasaran lebih luas.

Selepas produk berupa kuih kapit pelbagai perisa mula mendapat tempat di beberapa lokasi terpilih sekitar Telok Panglima Garang, Selangor ia mula menerima tempahan dari luar negeri itu.

Pengurus syarikat berkenaan, Muhammad Hisyamuddin Khairi berkata, langkah kanan syarikat berkenaan bermula ketika pihaknya merancang membantu suri rumah kawasan setempat ketika PKP.

Menurutnya, ketika itu, dia mengambil sehingga 10 suri rumah untuk membantu menyiapkan tempahan kerana secara tiba-tiba tempahan kuih kapit meningkat.

“Ketika PKP, kami beroperasi melalui kuihkapit.my dan sejak itu, rezeki makin mencurah dan kini saya memiliki 15 tenaga kerja, kebanyakan suri rumah.

“Mereka dapat menambah pendapatan keluarga dan menguruskan rumah tangga dengan sempurna dan saya gembira dapat membantu masyarakat setempat,” katanya.

Dari segi jualan katanya, pihaknya mampu menarik nafas lega kerana syarikat mampu mengedarkan sehingga 10,000 balang sebulan dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang musim perayaan.

“Ramai pihak terutama keluarga membantu memberi dorongan selain bantuan geran daripada Tekun Nasional RM50,000.

“Kini Alhamdulillah kami sering menerima tempahan dari syarikat korporat dan agensi kerajaan terutama dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari Selangor dan Kuala Lumpur.

“Produk terhangat kami ialah kuih kapit pelbagai perisa, popia simpul dan tat coklat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top