‘Penyelarasan harga belian padi pamer keprihatinan Kerajaan Madani’ | Harian Metro

‘Penyelarasan harga belian padi pamer keprihatinan Kerajaan Madani’ | Harian Metro

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kurang 24 jam selepas harga lantai belian padi baharu dikuatkuasakan, wakil kerajaan mengakui tindakan itu bukanlah bersifat sempurna untuk mengatasi pelbagai isu berkaitan pesawah yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) bagaimanapun berkata, inisiatif itu mempamerkan sikap Kerajaan Madani yang jauh lebih mesra dan prihatin terhadap pesawah, berbanding pentadbiran terdahulu diterajui Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi tumpuan lebih kepada golongan pesawah berbanding era bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 2022.

“Ini menyaksikan peningkatan peruntukan bernilai RM2.6 bilion tahun ini, berbanding RM2.4 bilion (2024), RM1.9 bilion (2023) dan RM1.53 bilion (2022), termasuk subsidi dan insentif kepada pesawah untuk tujuan input pertanian, subsidi output, dan insentif serta bantuan lain.

“Jumlah setiap pesawah untuk sehektar bagi satu musim ialah RM4,300. Jauh lebih tinggi berbanding zaman Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Khamis lalu, harga lantai belian padi dilaporkan diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik, selain harga beras putih tempatan (BPT) di pasaran juga kekal pada RM2.60 sekilogram.

Mengenai kadar baharu harga lantai belian padi, Tan mengakui ia masih tidak mencukupi serta pelbagai perkara perlu diberi perhatian, termasuk rombakan berskala besar mesti berlaku, sama ada kaedah pemberian insentif dan subsidi, teknologi terkini serta penggubalan undang-undang.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan penguatkuasaan lebih efektif dilakukan bagi mengatasi masalah campuran BPT dalam pembungkusan besar putih import (BPI).

“Saya mahu mempertahankan kerajaan kerana pembangkang mendakwa kerajaan tak membuat apa-apa, seolah-olah ratusan ribu pesawah dianaktirikan dan dinafikan hak mereka.

“Marilah kita bincang seeloknya seperti JKPK (Jawatankuasa Pilihan Khas) sudah tiga atau empat kali memanggil pemegang taruh industri untuk hadir.

“PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) yang dipengerusikan Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) turut berbuat yang sama untuk memperincikan isu ini demi mengesan kelemahan dan mencari penyelesaiannya,” katanya.

Tan berkata, selain pertambahan bajet setiap tahun dan dasar baharu, kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berhubung dengan Tan Sri Syed Mokhtar untuk meminta sumbangan tambahan RM10 juta kepada RM30 juta bagi menampung beban pesawah.

Beliau juga menyifatkan pendekatan Anwar itu sangat berbeza berbanding pentadbiran terdahulu, selain menegaskan bantuan disalurkan secara terus kepada pesawah, bukannya kepada parti politik, dikatakan seperti dilakukan Bersatu.

Katanya, kerajaan juga maklum mengenai sistem penyampaian subsidi turut berdepan masalah di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), selain terus menggantung perlembagaan agensi itu demi rombakan besar-besaran dalam pengurusan subsidi pertanian baja dan benih padi.

“Adakah Bersatu sanggup keluarkan dana politik disumbangkan Syed Mokhtar (bernilai) ratusan juta ringgit (untuk bantu ringankan beban ditanggung golongan pesawah)?

“Tidak salah (salurkan sumbangan kepada parti politik) tetapi sepatutnya sumbangan kepada rakyat dan pesawah, tidak salah tetapi jika anda membawa manfaat kepada pesawah ketika pentadbiran kamu.

“Apakah kamu sebut mahu mempertahankan pesawah tetapi Pagoh (Muhyiddin) meluluskan lanjutan kontrak Bernas sebagai pengimport tunggal untuk tempoh 10 tahun pada 2021, sebagai agenda melindungi nasib pesawah?

“Kini, kami tak dapat tamatkan kontrak Bernas, maka kerajaan minta tambah program CSR Bernas daripada 10 kepada 12, malah syaratkan juga 30 peratus hasil keuntungan melalui BPI kepada kerajaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top