Bernal patah tulang selangka akibat kemalangan di Clasica Jaen

Bernal patah tulang selangka akibat kemalangan di Clasica Jaen

Madrid: Bekas juara Tour de France, Egan Bernal mengalami kecederaan patah tulang selangka selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 10 pelumba pada perlumbaan Clasica Jaen, semalam.

Pelumba Ineos Grenadiers itu terjatuh di penghujung perlumbaan, ketika rakan sepasukannya, Michal Kwiatkowski, melakukan serangan untuk meraih kemenangan di Sepanyol.

“Selepas pemeriksaan menyeluruh di hospital, Egan disahkan mengalami patah tulang selangka,” menurut kenyataan Ineos di platform X.

“Dia akan terus dipantau oleh pasukan perubatan kami, dan pelan pemulihan menyeluruh akan dilaksanakan bagi menyokong kepulangannya ke latihan dan perlumbaan.”

Bernal, 28, baru sahaja meraih gelaran juara Kejohanan Kebangsaan Lebuh Raya Colombia bulan ini – kejuaraan pertamanya sejak mengalami kemalangan ngeri pada 2022 yang hampir meragut nyawanya.

“Saya gembira dapat berlumba semula di Eropah, terutama dengan jersi kebangsaan Colombia saya,” kata pemenang Giro d’Italia 2021 itu.

“Saya rasa sangat yakin sepanjang perlumbaan dan walaupun kecewa dengan kemalangan ini, prestasi saya memberi keyakinan untuk terus bekerja keras.”

Pelumba itu pada asalnya merancang untuk berlumba di beberapa kejohanan di Itali sebelum memburu gelaran Giro d’Italia keduanya pada Mei nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top