London: Arsenal dikenakan denda £65,000 (RM389,000) oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas pemain mereka mengerumuni pengadil susulan insiden kad merah Myles Lewis Skelly ketika menentang Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Januari lalu.
FA mendakwa The Gunners kerana gagal mengawal pemain selepas Michael Oliver melayangkan kad merah terus kepada Lewis Skelly kerana kekasaran terhadap Matt Doherty pada minit ke-43 perlawanan 25 Januari lalu.
“Suruhanjaya Kawal Selia Bebas mengenakan denda £65,000 ke atas Arsenal selepas mereka mengakui gagal memastikan pemain tidak berkelakuan tidak wajar dalam insiden itu,” menurut kenyataan FA.
Walaupun keputusan pengadil disahkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika kejadian, Arsenal kemudian membuat rayuan dan berjaya membatalkan hukuman penggantungan tiga perlawanan ke atas pemain muda berusia 18 tahun itu.
Dalam surat rayuan Arsenal, kelab itu menegaskan bahawa pemain mereka tidak bertindak secara ganas, mengancam, menghina atau provokatif.
Namun, FA menolak hujah berkenaan dengan menyatakan bahawa sembilan pemain Arsenal berada terlalu dekat dengan pengadil dan pembatalan kad merah itu tidak boleh dijadikan alasan bagi tingkah laku mereka.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Arsenal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




