Toronto: Seekor ikan emas dinamakan Swimbappe mencuri perhatian peminat bola sepak di bandar ini apabila menjadi ‘peramal’ keputusan perlawanan Piala Dunia dengan cara tersendiri.
Ikan itu ditempatkan dalam sebuah akuarium berbentuk padang bola sepak di luar sebuah bangunan pejabat di pusat bandar Toronto, Kanada dan membuat ramalan harian dengan berenang ke arah pilihan pemenang perlawanan.
Setiap hari, bendera pasukan yang bertanding dipaparkan di atas akuarium berkenaan, sebelum orang ramai berkumpul untuk menyaksikan Swimbappe membuat pilihannya selepas kiraan detik.
Setakat ini, Swimbappe dilaporkan mencatat 14 ramalan tepat, 10 keputusan seri dan hanya empat ramalan tersasar.
“Keputusan seri agak sukar untuk diterjemahkan oleh ikan ini dengan cara pergerakannya,” kata Tim Glenn, pengarah kreatif OneMethod yang antara individu di sebalik idea Swimbappe.
Swimbappe yang dinamakan sempena kapten Perancis, Kylian Mbappe, menjadi sebahagian daripada fenomena ‘peramal haiwan’ yang pernah mencuri tumpuan dunia sebelum ini.
Antara yang paling terkenal ialah sotong kurita yang dinamakan Paul pada Piala Dunia 2010 yang mencetuskan sensasi dengan ramalan tepat membabitkan perlawanan Jerman.
Selain itu, beberapa haiwan lain seperti gajah dan orang utan turut pernah digunakan dalam ramalan keputusan perlawanan.
Menurut Glenn, idea berkenaan tercetus bagi memberi pengalaman unik kepada peminat bola sepak sepanjang kejohanan berlangsung di Kanada.
“Kami mahu mencipta sesuatu yang menjadi sebahagian daripada detik budaya besar ini, bukan sahaja di Toronto tetapi juga di seluruh Kanada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




