Anak kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memohon orang ramai agar memaafkan segala kesilapan atau salah laku yang mungkin dilakukan ibunya sepanjang hayat.
Berucap ringkas selepas solat jenazah di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, hari ini, Mukhriz turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai tuntutan hutang tertunggak membabitkan ibunya supaya menghubungi pihak keluarga.
Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, pihak keluarga akan melakukan yang terbaik untuk melunaskan sebarang hutang ditinggalkan Allahyarhamah.
“Jika ada apa-apa kesilapan atau salah laku daripada pihak beliau, ampun dan maaf kami pinta.
“Selain itu, sekiranya ada hutang piutang yang belum selesai, sila berurusan dengan kami pihak keluarga. Insya-Allah, kami akan menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya.
Kredit Foto: NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Mukhriz berkata demikian selepas lebih 2,000 jemaah berkumpul di masjid berkenaan bagi menunaikan solat jenazah Dr Siti Hasmah yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi tadi.
Solat jenazah itu diadakan sebanyak dua kali dengan solat pertama diimamkan Imam Masjid As-Syarif, Ustaz Muhammad Danial Hussan, manakala solat kedua oleh wakil keluarga, Ustaz Basyir.


Solat jenazah selesai kira-kira jam 5.15 petang sebelum jenazah dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, untuk disemadikan menerusi Istiadat Pengebumian Negara.
Suasana hiba menyelubungi masjid apabila ahli keluarga, pemimpin politik, rakan-rakan serta orang ramai berkumpul bagi memberikan penghormatan terakhir.

Kredit Foto: Astro Awani
Antara yang hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Dr Siti Hasmah, 100, adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pasangan itu dikurniakan tujuh anak, termasuk Marina, Mokhzani dan Mukhriz.
Sumber: Harian Metro (Hakim Mahari, Jasmine Jasman)




