Mukhriz anggap diri anak paling bertuah, sempat bersama Tun Hasmah malam sebelum pemergian

Mukhriz anggap diri anak paling bertuah, sempat bersama Tun Hasmah malam sebelum pemergian

PUTRAJAYA: “Saya anggap diri saya ini sebenarnya antara anak yang paling bertuah kerana pada usia 62 tahun pun sehingga pagi tadi masih mempunyai ibu dan juga seorang ayah.”

Itu luahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk dari luar negara yang menyampaikan salam takziah susulan pemergian bondanya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, hari ini.

Menurut Mukhriz, pemergian ibunya pada usia 100 tahun merupakan satu nikmat dan tuah yang amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya anggap itu satu tuah yang sangat-sangat bermakna bukan hanya pada keluarga kami, insya-Allah juga bagi negara kerana Tun Hasmah sebenarnya seorang yang sentiasa utamakan khidmat bagi rakyat dan bagi negara.

“Sampai ke saat-saat akhir, dia masih lagi memikirkan soal masa depan kita,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian Tun Siti Hasmah di perkarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini.

Mukhriz berkata, beliau berkesempatan bersama Tun Hasmah di Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi dan mendapati bondanya berada dalam keadaan ceria meskipun sedang menerima rawatan.

Katanya, pada pertemuan itu, Tun Hasmah turut memberitahu bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan mereka sekeluarga.

“Waktu itu dia sudah pun berada di IJN atas sakit yang lain sebenarnya tetapi moodnya sangat ceria walaupun begitu dia ada beritahu saya yang dia dah bersedia untuk meninggalkan kita semua.

“Jadi nampaknya dia dah bertawakal,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau menerima makluman daripada pihak hospital pagi tadi bahawa Tun Hasmah mengalami masalah jantung kira-kira pukul 8 pagi sebelum bergegas ke IJN.

Katanya, ketika tiba, pasukan pakar IJN sedang melakukan CPR terhadap bondanya sebelum beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).

“Pada pukul 9 pagi kami dimaklumkan bahawa CPR yang telah dijalankan itu hanya akan dibuat selama 15 minit lagi dan kalau jantung tak terus berfungsi maka tindakan CPR itu akan dihentikan.

“Kita waktu itu dah faham maksud doktor itu dan tepat pada pukul 9.30 pagi beliau telah meninggalkan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz memohon orang ramai bersama-sama mendoakan agar segala dosa Allahyarhamah diampunkan, segala amal ibadahnya diterima dan ditempatkan bersama golongan Muslimin di syurga Firdaus.

“Saya minta tolong sangat-sangat mungkin kita sama-sama doakan agar Almarhumah diampuni segala dosa, diterima segala kebaikan amal ibadahnya dan ditempatkan bersama para Muslimin di syurga Firdaus, insya-Allah. Amin,” katanya.

Mukhriz turut memaklumkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berada di IJN ketika Tun Hasmah menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca kematian Tun Hasmah, Mukhriz berkata pihak keluarga menyerahkan kepada IJN untuk memberikan penjelasan lanjut.

“Kita bukan pakar, jadi pihak IJN yang akan menerangkan pernyataan mungkin kalau perlulah perincian berkenaan dengan sebab-sebab kematian,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top