Kuala Lumpur: Juara Liga Hoki Malaysia (MHL) Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan naib juara liga Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal dalam landasan untuk memburu kejuaraan Piala TNB 2025 selepas mara ke separuh akhir, hari ini.
Pada aksi suku akhir di Stadium Tun Razak, THT mudah membelasah Pasukan Hoki Angkatan Tentera (AFHT) 8-3, manakala TNB menumpaskan Liaoning 8-2 di Stadium Kementerian Pendidikan (KPM) di Lembah Pantai.
Dua lagi perlawanan suku akhir menyaksikan Kelab Hoki Matador mengetepikan TNB Thunderbolt 2-1 di Stadium Tun Razak sementara Maybank menyingkirkan UiTM HA-KPT 2-0 di Stadium KPM.
Pada separuh akhir Khamis ini, THT akan menentang Kelab Hoki Matador, manakala TNB bertemu Maybank di Stadium Hoki Nasional 2 di Bukit Jalil.
Dalam perlawanan THT menentang AFHT, penyerang sensasi Faizal Saari mencuri tumpuan dengan meledakkan hatrik (minit ke-35, 50 dan 54).
Mohamad Akhimullah Anuar Esook turut menyumbang dua gol pada minit ke-4 dan ke-24, manakala Mohd Fitri Saari (minit ke-17), Muhammad Faris Harizan (minit ke-49) dan Tengku Ahmad Tajuddin (minit ke-58) masing-masing mencetak satu gol.
AFHT membalas melalui jaringan Ismail Abu (minit ke-12, ke-38 dan Mohammad Noor Firdaus Rosdi (minit ke-53).
Ketua jurulatih THT Harfizi Baharom gembira dengan prestasi anak buahnya sambil menjelaskan mereka akan memperkemaskan benteng pertahanan serta meningkatkan komunikasi antara pemain di atas padang pada perlawanan seterusnya.
THT kini memburu gelaran treble musim ini selepas menjuarai MHL dan menewaskan TNB 2-1 untuk merangkul Piala Sumbangsih bulan lepas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




