zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tuju Setia Bhd (Tuju Setia) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd (PTS) meraih kontrak pembinaan bernilai RM143.5 juta bagi memajukan projek pembangunan bertingkat di Petaling Jaya, Selangor.
Kontrak yang diperoleh dari FDM Development Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Glomac Bhd menyaksikan PTS akan menjadi kontraktor utama bagi kerja pembinaan projek 121 Residences.
Pembangunan bertingkat itu merangkumi menara dua blok SoHo dan apartmen servis 28 tingkat dan turut merangkumi kemudahan serta tempat letak kereta bertingkat.
Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong, berkata projek berkenaan tidak hanya menambah nilai kontrak semasa, malah memperluaskan portfolio pembangunan bertingkat yang dilaksanakan syarikat.
“Selain itu, kontrak ini juga adalah daripada pelanggan baharu Tuju Setia, sekali gus menunjukkan reputasi berkualiti kami bersandarkan keupayaan syarikat menyiapkan projek tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Eng Kong berkata, kejayaan meraih kontrak baharu itu juga membuktikan peningkatan keyakinan dalam sektor pembangunan hartanah.
“Kami bertekad untuk meneruskan momentum dengan mengambil bahagian secara aktif dalam membida lebih banyak tender bagi mengekalkan tahap keuntungan kami,” katanya.
Beliau berkata, kontrak yang diraih PTS daripada FDM Development bertempoh 26 bulan itu akan membabitkan kerja pembinaan bermula Mei ini.
“Projek ini diharapkan dapat memberikan sumbangan positif kepada pendapatan Tuju Setia pada masa depan,” katanya.
Sejak mula ditubuhkan pada 2006, PTS sudah menyiapkan projek pembangunan bertingkat bernilai RM2.2 bilion membabitkan ketinggian sehingga 51 tingkat merangkumi bangunan kediaman dan bukan kediaman.
Pelanggan PTS merangkumi pemaju hartanah terkemuka sehinggalah sektor awam termasuk S P Setia Bhd, GuocoLand (Malaysia) Bhd, Bandar Raya Developments Bhd, UEM Sunrise Bhd, Symphony Life Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Projek semasa bukan kediaman yang dimajukan Tuju Setia ketika ini termasuk Mutiara Central Office Suites (Cheras), Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kajang, Riana Dutamas – Fasa 2 (Segambut) dan The Pulse Residence (Bandar Puteri Puchong).
Manakala, projek kediaman pula adalah PPAM Sofiya Residensi (Desa ParkCity), Emerald Hills – Fasa 3 dan 4 (Cheras) dan TUAI Residence (Setia Alam).
Tuju Setia dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku kedua tahun ini.
Alliance Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama serta penaja jamin dan ejen penempatan bersama dengan CIMB Investment Bank Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




