Model elektrifikasi, hibrid jadi tumpuan KLIMS 2026

Model elektrifikasi, hibrid jadi tumpuan KLIMS 2026

lizamridzuan@hmetro.com.my

ACARA Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 menjadi pentas pelancaran dan pratonton beberapa model baharu yang menampilkan teknologi elektrifikasi terkini, sekali gus mencerminkan perubahan landskap industri automotif tempatan ke arah mobiliti lebih mampan.

Antara yang mencuri tumpuan ialah pelancaran Proton e.MAS 7 Premium Plus oleh PRO-NET yang memperluaskan penawaran kenderaan elektrik (EV) nasional menerusi varian dengan kapasiti bateri lebih besar dan jarak pemanduan lebih jauh.

Model itu dilengkapi bateri AEGIS Short Blade berkapasiti 68.39kWj yang membolehkan jarak pemanduan sehingga 450 kilometer mengikut piawaian WLTP, selain mengekalkan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 115kW yang mampu mengecas bateri daripada 30 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 20 minit.

Bagi meningkatkan keselesaan, Proton e.MAS 7 Premium Plus turut dilengkapi tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan, tempat duduk penumpang hadapan berkuasa serta penyandar kaki. Model itu ditawarkan pada harga RM125,800 sebelum insurans dengan rebat pelancaran khas RM7,000 untuk tempoh terhad.

Honda Malaysia pula memperkenalkan Prelude serba baharu yang menandakan kemunculan generasi keenam model coupe hibrid itu di pasaran tempatan. Dibangunkan berasaskan konsep ‘Unlimited Glide,’ Prelude menggabungkan prestasi, keselesaan premium dan kepraktisan penggunaan harian dalam sebuah pakej grand tourer moden.

Model berkenaan dikuasakan enjin 2.0 liter e:HEV yang menghasilkan 184PS dan 315Nm tork. Ia juga menjadi model pertama Honda Malaysia menerima teknologi S+ Shift yang direka untuk memberikan tindak balas pemanduan lebih langsung serta pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Prelude turut dilengkapi tiga mod pemanduan iaitu Sport, GT dan Comfort, selain mod Individual yang membolehkan pemandu menyesuaikan pelbagai tetapan mengikut keutamaan masing-masing.

Model itu turut menerima beberapa teknologi yang diinspirasikan daripada Type R termasuk suspensi hadapan dual-axis strut dan Adaptive Damper System.

Dari aspek reka bentuk, Prelude menampilkan siluet fastback aerodinamik, rim aloi 19 inci bersama angkup brek Brembo berwarna biru serta sistem infotainmen dengan Google Built-in dan Coupe hibrid itu ditawarkan pada harga RM278,000.

Sementara itu, JETOUR Malaysia membuka tempahan bagi JETOUR T2 i-DM, model Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) pertama jenama itu di negara ini. SUV berkenaan membuat penampilan sulungnya di KLIMS 2026 sebelum pelancaran rasmi dalam masa terdekat.

JETOUR T2 i-DM menggunakan enjin turbo 1.5 liter TGDI bersama konfigurasi dwi-motor dan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga kelajuan yang menghasilkan kuasa gabungan 265kW serta tork maksimum 610Nm dan Ia menawarkan jarak pemanduan elektrik melebihi 100 kilometer dan jarak gabungan sehingga 1,200 kilometer.

SUV itu turut dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan dan bantuan pemandu termasuk ADAS Tahap 2, enam beg udara SRS serta sistem pemantauan panoramik. JETOUR menjangkakan model tersebut akan ditawarkan pada harga RM168,888 apabila dilancarkan kelak.

GWM Malaysia pula menjadikan pentas KLIMS 2026 untuk mempertontonkan dua model elektrifikasi baharu iaitu ORA 5 HEV dan HAVAL H7 Hi4 PHEV sebagai sebahagian daripada strategi memperluaskan ekosistem mobilitinya di Malaysia.

ORA 5 HEV tampil sebagai crossover bandar kompak yang menggunakan teknologi hibrid Hi2 dengan kuasa 223PS dan 476Nm tork. Model itu menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100 kilometer serta jarak pemanduan melebihi 1,100 kilometer.

Bagi pengguna yang mahukan SUV lebih lasak, HAVAL H7 Hi4 PHEV menawarkan kuasa sehingga 370PS dan 750Nm tork, selain jarak pemanduan elektrik sehingga 150 kilometer serta jarak gabungan melebihi 1,000 kilometer.

Kehadiran model-model baharu di KLIMS 2026 membuktikan pengeluar automotif kini semakin agresif memperkenalkan teknologi EV, HEV dan PHEV bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin pelbagai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top