KUALA LUMPUR: Jumlah petugas kesihatan yang meninggalkan fasiliti-fasiliti kesihatan awam menunjukkan penurunan pada 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya yang menyaksikan peletakan jawatan doktor secara beramai-ramai.
Menerusi statistik Kementerian Kesihatan (KKM), seramai 1,736 petugas meletakkan jawatan tahun lalu iaitu menurun dari 2023 (2,346), 2022 (2,388) tetapi tinggi dari 2021 (1,516) dan 2020 (1,369).
Jumlah 1,736 petugas kesihatan itu terdiri daripada pegawai tetap seramai 386 orang, pegawai kontrak (289), pakar perubatan (400), jururawat tetap (569), jururawat kontrak (13), penolong pegawai tetap (45) dan penolong pegawai kontrak (34).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM komited untuk terus melaksanakan urusan pengambilan dan pengisian kekosongan perjawatan di fasilitinya.
Katanya, KKM berjaya melaksanakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) untuk menambah baik kualiti dan kualiti pakar perubatan yang akan dilahirkan sama ada melalui program sarjana atau laluan parallel (selari).
Jelasnya, seramai 5,807 pegawai perubatan sedang mengikuti latihan kepakaran KKM meliputi 5,115 pegawai dalam program sarjana perubatan dan 692 orang lagi melalui program parallel pathway.
“Selain itu, KKM melantik tetap seramai 13,879 pegawai perubatan kontrak bagi tempoh 2019 hingga tahun lalu. Bagi tahun ini, KKM menyasarkan akan melantik tetap seramai 3,200 pegawai perubatan kontrak.
“Pada tahun lalu, KKM melantik seramai 3,316 graduan perubatan sebagai pegawai perubatan siswazah (PPS). Bagi tahun ini, KKM menyasarkan akan melantik seramai 3,000 PPS yang akan ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berkenaan perincian jumlah kakitangan mengikut kategori sistem penjagaan kesihatan di bawah KKM yang meninggalkan perkhidmatan.
Tambah Dr. Dzulkefly, KKM menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melaksanakan pengambilan tahun ini melibatkan seramai 3,228 jururawat daripada kalangan graduan diploma institusi pendidikan dalam negara bagi tujuan mengisi perjawatan tetap.
Katanya, KKM turut meningkatkan pengambilan pelatih separa perubatan di Institusi Latihan KKM (ILKKM) kepada 6,705 orang bermula tahun ini.
“Sehingga 31 Januari lalu, terdapat seramai 10,679 pelatih meliputi 14 skim perkhidmatan paramedik dan auksiliari sedang menjalani latihan di ILKKM di seluruh negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rekod KKM mendapati terdapat peningkatan sebanyak 18 peratus bagi jumlah kedatangan pesakit ke fasiliti kesihatan awam iaitu seramai 68,157,122 pada 2023 berbanding 57,926,813 pesakit pada 2020.
Beliau berkata, buat masa ini tiada data khusus membabitkan hasil kenaikan kadar premium insurans yang dilaporkan sebelum ini terhadap kadar kedatangan pesakit ke fasiliti kesihatan awam.
“Kadar peningkatan pesakit ke fasiliti kesihatan awam dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya akses sistem kesihatan awam, perubahan demografi penduduk.
“Pada masa hadapan, sekiranya terdapat keperluan bagi melaksanakan kajian yang komprehensif berhubung kebarangkalian berlakunya peningkatan pesakit ke fasiliti kesihatan awam apabila premium insurans kesihatan meningkat serta keterbatasan akses kepada insurans kesihatan.
“Keadaan ini berlaku sekiranya ramai pesakit lebih cenderung untuk memilih mendapatkan rawatan hospital sektor awam yang lebih rendah yang boleh menyebabkan peningkatan pesakit di fasiliti kesihatan awam,” jelasnya. – UTUSAN




