Taiping: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang sebagai aset yang sangat berharga dan sumbangan beliau perlu sentiasa diangkat serta dilestarikan demi kecemerlangan sukan tanah air.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya menyambut baik usul yang diluluskan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini bagi menamakan semula Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sebagai Velodrom Azizulhasni sebagai tanda penghargaan tertinggi kepada beliau.
“Saya menyambut baik perkara itu dan sudah pasti Datuk Jijoe atau Datuk Azizulhasni Awang adalah aset negara kita. Di peringkat saya sendiri, kami menyambut baik usul itu dan sudah pasti kami akan mengadakan perbincangan yang lebih mendalam dengan persatuan dan juga semua pihak yang terlibat berkaitan dengan perkara itu.
“Saya ingin rakamkan bahawa Datuk Jijoe adalah aset yang perlu kita jaga dan perlu kita lestarikan. Insya-Allah di peringkat KBS, kami sentiasa terbuka dengan perkara itu dan melihat aset-aset negara ini perlulah diangkat dan terus diberikan penghargaan di peringkat kementerian dan juga di peringkat kerajaan itu sendiri,” katanya di sini malam ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Muay Antarabangsa Malaysia 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan di sini.
Terdahulu, PKBM meluluskan usul agar Velodrom Nasional dinamakan semula sebagai Velodrom Azizulhasni bagi menghargai sumbangan besar anak kelahiran Terengganu itu kepada sukan berbasikal negara.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq ketika menyentuh mengenai masa depan karier The Pocket Rocketman menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28) berkata kementerian enggan memberikan sebarang tekanan kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik di Tokyo itu untuk terus berlumba.
Beliau berkata kerajaan memberikan ruang dan kebebasan sepenuhnya kepada Azizulhasni untuk memikirkan langkah terbaik bagi hala tuju kariernya sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.
“Kami sekarang ini masih lagi dalam tahap perbincangan berkenaan perkara itu dan sudah pasti kami memberikan sepenuhnya kepada Datuk Jijoe berkaitan dengan keputusan itu.
“Kami memberikan ruang kepada beliau untuk memikirkan seterusnya apakah langkah yang terbaik dan sudah pasti kami memberikan kebebasan serta ruang yang secukupnya untuk beliau memikirkan berkenaan perkara itu,” katanya.
Terdahulu, PKBM meluluskan usul itu bagi menghargai jasa luar biasa Azizulhasni yang telah meletakkan sukan berbasikal Malaysia di peta dunia menerusi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk di pentas Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.
Bekas Naib Presiden PKBM Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut memaklumkan Azizulhasni tidak sepatutnya diberi tekanan untuk terus berlumba sehingga ke Sukan Olimpik 2028.
© New Straits Times Press (M) Bhd




