Agrobank pupuk minat pelajar dalam bidang akuakultur melalui teknologi bioflok

Agrobank pupuk minat pelajar dalam bidang akuakultur melalui teknologi bioflok

PROGRAM Aquaculture Aspire anjuran Agrobank mengetengahkan pendidikan akuakultur berasaskan teknologi bioflok untuk memupuk minat, pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam bidang perikanan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program direka khusus untuk pelajar neurodiversiti itu menampilkan pendekatan unik dan berinovasi melalui penggunaan teknologi bioflok yang mesra alam untuk penternakan ikan Tilapia.

“Teknologi ini membolehkan pengurangan penggunaan air dalam sistem ternakan selain meningkatkan mutu kualiti air dengan mewujudkan ekosistem optimum untuk pembiakan ikan yang lebih efisien.

“Dalam usaha memacu industri akuakultur, integrasi teknologi moden adalah amat penting, terutamanya dalam menarik minat generasi muda yang bakal menjadi pelapis industri perikanan negara pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Agrobank turut menyampaikan sumbangan wang persekolahan kepada 200 pelajar di kawasan Parlimen Kota Raja.

Agrobank turut menyampaikan sumbangan wang persekolahan kepada 200 pelajar di kawasan Parlimen Kota Raja.

Sebelum itu, Agrobank menganjurkan Majlis Penyampaian Bantuan Wang Persekolahan dan Pelepasan Anak Ikan Tilapia yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ia bersempena Program Aquaculture Aspire yang telah dirasmikan pada 17 September 2024 di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, program berkenaan bukan sahaja menyokong pembangunan sektor akuakultur tempatan malah menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran makanan yang mampan.

“Melalui program ini, Agrobank berhasrat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menggabungkan teori dan amali di luar bilik darjah, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk meneroka bakat yang berpotensi membentuk kerjaya masa depan.

“Di peringkat sekolah, aktiviti ini juga berpotensi menjadi inisiatif keusahawanan yang dapat menjana pendapatan untuk menyokong perkembangan ekonomi sekolah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pembelajaran lain,” katanya.

Sehubungan itu, pada bulan lalu, Agrobank telah merasmikan Rumah Ternak Ikan An-Nisa’ di Masjid D’ Raja Tengku Aziza, Melor, Kelantan.

Di peringkat sekolah pula, Agrobank mensasarkan pelaksanaan Program Aquaculture Aspire di 10 buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terpilih di Semenanjung Malaysia.

“Bagi fasa pertama, program penternakan ikan Tilapia ini akan dijalankan di SMK Jalan Kebun dengan melibatkan pelajar PPKI dalam aliran akuakultur,” ujarnya.

Pada majlis sama, Agrobank turut menyampaikan sumbangan wang persekolahan kepada 200 pelajar di kawasan Parlimen Kota Raja.

Setiap pelajar menerima bantuan wang persekolahan bernilai RM150 beserta keperluan persekolahan seperti beg sekolah, alat tulis dan botol air.

Scroll to Top