Muhammad Sufi jalani pembedahan pasang implan tempurung kepala, Selasa ini

Muhammad Sufi jalani pembedahan pasang implan tempurung kepala, Selasa ini

am@hmetro.com.my

Jitra: Lelaki yang tular menjual daging salai bagi mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepala akan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, Selasa ini.

Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, berkata pembedahan itu pada asalnya dijadualkan pada 9 Mac depan, namun HSB memaklumkan prosedur itu dipercepatkan kepada 25 Februari.

“Saya sangat bersyukur ramai yang prihatin dengan keadaan saya termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi sumbangan sebanyak RM15,000 untuk pembedahan.

“Terima kasih kepada semua yang membantu terutama yang membeli daging salai saya menerusi media sosial, hanya Allah yang dapat membalas budi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Sungai Petani merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari di rumahnya di sini, hari ini.

Dr Mohammed Taufiq turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000.

Muhammad Sufi yang bertugas sebagai fisioterapi di HSB berkata, dia terpaksa menghentikan sementara perniagaannya kerana perlu memberi perhatian terhadap urusan perubatan.

“Saya terpaksa menolak banyak permintaan untuk mendapatkan daging salai yang diterima melalui aplikasi Tik Tok dan WhatsApp.

“Stok daging salai yang sebanyak 32 kilogram yang saya buat sebelum ini pun, sudah habis hari ini setelah kisah saya mendapat perhatian ramai.

“Rata-rata pembeli memberi maklum balas positif terhadap produk saya hasilkan itu hingga ada yang hendak berulang membelinya.

“Tetapi saya tak dapat penuhi permintaan mereka kerana perlu menjalani pembedahan tak lama lagi,” katanya.

Semalam media melaporkan Muhammad Sufi yang juga seorang duda dan mempunyai seorang anak mendapat perhatian Perdana Menteri yang menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000, selepas memuat naik kandungan di Tik Tok menjual daging salai bagi mencari dana untuk menjalani pembedahan kelima bagi memasang implan berkenaan.

Muhammad Sufi sebelum ini pernah koma selama lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepala setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah di sini, dua tahun lalu.

Sementara itu ibu Muhammad Sufi, Noraini Ishak berkata dia amat terharu dengan keprihatinan ditunjukkan Perdana Menteri serta seluruh rakyat Malaysia yang menunjukkan keprihatinan terhadap anaknya itu.

Katanya, sebelum ini perniagaan Muhammad Sufi berjalan agak perlahan kerana dia berdepan masalah melaksanakan strategi pemasaran berikutan keadaan fizikalnya yang lemah.

“Apabila kisahnya tular, ramai pelanggan yang buat tempahan hingga kami dua beranak tak menang tangan.

“Saya bersyukur kerana dalam keadaan sekarang, doktor sendiri ada menasihatkan supaya kami meneliti peluang yang ada bagi menjana ekonomi keluarga kerana Muhammad Sufi berkemungkinan tidak dapat lagi bekerja dan perlu bersara awal.

“Kalau ada rezekinya lagi untuk menjual daging salai selepas ini, mungkin kami perlukan pembantu kerana saya sendiri sudah berumur,” katanya.

Noraini berkata, kemalangan menimpa Muhammad Sufi berlaku hanya kira-kira empat bulan setelah dia mengambil keputusan untuk tinggal di sebuah pondok bagi mendalami ilmu agama di Yan.

“Berikutan kemalangan menimpa Muhammad Sufi, saya terpaksa kembali ke rumah peninggalan suami untuk menjaganya.

“Saya memang menyimpan impian untuk kembali tinggal di pondok bagi menjalani ilmu agama namun segalanya bergantung kepada keadaan Muhammad Sufi selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top